Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Di Kategori Mana? Kenali MSCI Dan Pengelasan Pasaran Saham Dunia

MSCI
Kredit: Berita Satu

Baru-baru ini, dunia perniagaan dan pasaran saham Asia dikejutkan dengan berita bahawa Indonesia berisiko diturunkan taraf kepada kategori Standalone Market atau Pasaran Berdiri Sendiri.

MSCI mengumumkan pembukaan proses rundingan pada 15 Oktober berhubung cadangan untuk mengklasifikasikan semula pasaran saham Indonesia daripada kategori Emerging Market kepada Standalone Market.

Difahamkan, cadangan itu dibuat susulan kebimbangan pelabur institusi global terhadap perkembangan pembaharuan pasaran modal negara berkenaan yang masih belum menunjukkan kemajuan ketara dan konsisten.

Bagaimanapun, bukan isu pasaran saham Indonesia yang ingin SK kupas dalam artikel kali ini.

Sebaliknya, pernahkah anda tertanya-tanya apakah sebenarnya MSCI dan mengapa klasifikasi pasaran yang ditetapkannya begitu penting sehingga mampu memberi kesan kepada pasaran saham sesebuah negara?

Kenali MSCI

MSCI Inc. merupakan sebuah syarikat yang menyediakan indeks, data serta alat analisis bagi membantu pelabur di seluruh dunia memahami risiko dan peluang dalam membuat keputusan pelaburan.

Menurut laman web rasminya, MSCI memainkan peranan dalam memperkukuh pasaran kewangan global dengan menyediakan piawaian dan kaedah penilaian yang seragam untuk digunakan oleh pelabur antarabangsa.

Melalui indeks yang dibangunkan, MSCI turut membantu pelabur mengukur dan membandingkan prestasi pasaran saham di seluruh dunia.

Selain itu, MSCI turut menjalankan penilaian tahunan terhadap pasaran saham bagi menentukan sama ada sesebuah pasaran perlu diklasifikasikan sebagai Pasaran Maju (Developed Market), Pasaran Sedang Membangun (Emerging Market), Pasaran Barisan Hadapan (Frontier Market) atau Pasaran Berdiri Sendiri (Standalone Market).

Kredit: CNBC Indonesia

MSCI turut mempunyai subkategori Advanced Frontier Market atau Pasaran Barisan Hadapan Lanjutan, yang merangkumi pasaran tertentu dalam kategori Frontier Market.

Penilaian ini amat penting dalam proses pembentukan indeks pasaran saham MSCI.

Dalam menjalankan penilaian tersebut, MSCI mengambil kira pandangan dan amalan komuniti pelaburan antarabangsa, selain menilai tahap pembangunan ekonomi, kebolehcapaian pasaran serta kebolehlaburan sesebuah pasaran saham.

Tiga kriteria utama penilaian MSCI

Rangka Kerja Klasifikasi Pasaran MSCI (MSCI Market Classification Framework) menggunakan tiga kriteria utama untuk menilai pasaran saham iaitu:

  1. Pembangunan ekonomi

Menilai kemampanan pembangunan ekonomi sesebuah negara. Kriteria ini hanya digunakan untuk menentukan klasifikasi Pasaran Maju.

  1. Keperluan saiz dan kecairan

Menentukan sekuriti yang memenuhi syarat minimum kebolehlaburan untuk dimasukkan ke dalam Indeks Standard Global MSCI

  1. Kebolehcapaian pasaran

Bertujuan menggambarkan pengalaman pelaburan pelabur institusi antarabangsa dalam sesebuah pasaran saham berdasarkan lima kriteria kebolehcapaian pasaran.

Klasifikasi pasaran saham semasa MSCI

Secara umumnya, MSCI mengelaskan pasaran saham dunia kepada empat kategori utama berdasarkan tahap pembangunan, saiz, kecairan dan kebolehcapaian pasaran.

Berikut merupakan negara dan pasaran yang disenaraikan dalam setiap kategori berdasarkan senarai klasifikasi MSCI.

Pasaran Maju

Kategori ini secara umumnya merangkumi pasaran saham di negara yang mempunyai ekonomi maju, pasaran saham yang besar dan berkecairan tinggi, infrastruktur perdagangan yang cekap serta tahap kebolehcapaian yang tinggi kepada pelabur asing.

Saham dalam pasaran maju menawarkan peluang kepada pelabur untuk melabur dalam pelbagai syarikat merentasi industri dan strategi pelaburan, disokong oleh infrastruktur pasaran yang relatif matang.

Antara pasaran yang termasuk dalam kategori ini ialah:

  1. Kanada 

  2. Amerika Syarikat

  3. Austria

  4. Belgium

  5. Denmark

  6. Finland

  7. Perancis

  8. Jerman

  9. Ireland

  10. Israel

  11. Itali 

  12. Belanda

  13. Norwar

  14. Portugal

  15. Sepanyol

  16. Sweden

  17. Switzerland

  18. United Kingdom

  19. Australia 

  20. Hong Kong

  21. Jepun

  22. New Zealand

  23. Singapura

Pasaran Sedang Membangun

Pasaran Sedang Membangun menawarkan peluang pelaburan yang besar, namun mungkin mempunyai sekatan peraturan, cabaran operasi atau risiko pasaran yang lebih tinggi berbanding Pasaran Maju.

Daya tarikan pelaburan dalam kategori ini sering didorong oleh perkembangan ekonomi, proses perindustrian serta peningkatan pendapatan syarikat.

Bagaimanapun, pulangan pelaburan boleh dipengaruhi oleh faktor khusus sesebuah negara, termasuk perubahan dasar kerajaan, pergerakan nilai mata wang dan sentimen pelabur asing.

Menariknya, Malaysia turut berada dalam kategori Pasaran Sedang Membangun bersama beberapa negara Asia lain seperti China, India, Indonesia dan Thailand.

Senarai negara yang diklasifikasikan sebagai Pasaran Sedang Membangun:

  1. Brazil 

  2. Chile

  3. Colombia

  4. Mexico

  5. Peru

  6. Republik Czech

  7. Mesir

  8. Greece

  9. Hungary

  10. Kuwait

  11. Poland

  12. Qatar

  13. Arab Saudi

  14. Afrika Selatan

  15. Turkiye

  16. Emiriah Arab Bersatu

  17. China

  18. India

  19. Indonesia

  20. Korea Selatan

  21. Malaysia

  22. Filipina

  23. Taiwan 

  24. Thailand

Pasaran Barisan Hadapan

Pasaran Barisan Hadapan secara umumnya mempunyai pasaran saham yang lebih kecil, tahap kecairan yang lebih rendah serta peluang pelaburan yang lebih terhad berbanding Pasaran Sedang Membangun.

Kategori ini menawarkan peluang pelaburan dalam pasaran yang masih kurang membangun. Bagaimanapun, jumlah dagangan yang rendah dan akses pasaran yang terhad boleh menyukarkan pelabur institusi membeli atau menjual pegangan saham dalam jumlah besar tanpa mempengaruhi harga pasaran.

Pasaran yang terlibat ialah:

  1. Bahrain

  2. Benin

  3. Burkino Faso

  4. Croatia

  5. Estonia

  6. Guinea-Bissau

  7. Iceland

  8. Ivory Coast

  9. Jordan

  10. Kazakhstan

  11. Kenya

  12. Latvia

  13. Lithuania

  14. Mali

  15. Mauritius

  16. Maghribi

  17. Niger

  18. Oman

  19. Romania

  20. Senegal

  21. Serbia

  22. Slovenia

  23. Togo

  24. Tunisia

  25. Bangladesh

  26. Pakistan

  27. Sri Lanka

  28. Vietnam

Pasaran Barisan Hadapan Lanjutan

MSCI memperkenalkan subkategori Pasaran Barisan Hadapan Lanjutan dalam penilaian tahunannya pada 2025.

Subkategori ini merujuk kepada pasaran saham dalam kumpulan Pasaran Barisan Hadapan yang mempunyai tahap kebolehcapaian yang relatif tinggi, namun belum memenuhi syarat dari segi saiz pasaran atau kecairan untuk diklasifikasikan sebagai Pasaran Sedang Membangun.

Subkategori ini turut mempunyai keperluan khusus berkaitan penarafan kebolehcapaian pasaran dan sekatan terhadap aliran modal.

Pasaran yang dikenal pasti dalam subkategori ini ialah:

  1. Estonia

  2. Latvia

  3. Lithuania

  4. Romania

  5. Slovenia

Pasaran Berdiri Sendiri

Pasaran Berdiri Sendiri merupakan kategori bagi pasaran saham yang tidak termasuk dalam klasifikasi Pasaran Maju, Pasaran Sedang Membangun atau Pasaran Barisan Hadapan yang ditetapkan oleh MSCI.

Kategori ini merangkumi pasaran yang belum memenuhi syarat untuk dimasukkan ke dalam kumpulan utama, selain pasaran yang dikeluarkan daripada kategori terdahulu akibat masalah ketara dari segi kebolehcapaian atau fungsi pasaran.

Penurunan taraf kepada Pasaran Berdiri Sendiri boleh membawa kesan yang lebih besar berbanding penurunan daripada Pasaran Sedang Membangun kepada Pasaran Barisan Hadapan.

Ini kerana sesebuah pasaran berkemungkinan kehilangan tempat dalam indeks ekuiti global utama MSCI, sekali gus memberi kesan kepada pelaburan yang mengikuti indeks berkenaan.

Berikut pasaran yang disenaraikan dalam kategori ini:

  1. Argentina

  2. Jamaica

  3. Panama

  4. Trinidad and Tobago

  5. Bosnia and Herzegovina

  6. Bulgaria

  7. Lubnan

  8. Malta

  9. Nigeria

  10. Palestin

  11. Ukraine

  12. Zimbabwe

Kredit: AFP

Kenapa klasifikasi pasaran penting?

Kebanyakan dana pelaburan menggunakan indeks MSCI sebagai penanda aras atau mengikuti secara langsung prestasi indeks tersebut. Oleh itu, klasifikasi pasaran yang ditetapkan MSCI turut mempengaruhi cara dana pelaburan mengagihkan modal mereka ke pasaran saham di negara berbeza.

Sekiranya sesebuah negara dikeluarkan daripada sesuatu indeks, dana yang mengikuti indeks berkenaan mungkin perlu menjual saham yang terjejas dan mengalihkan modal ke pasaran lain yang masih memenuhi syarat.

Bagaimanapun, tahap kesannya bergantung pada indeks yang terlibat, jadual pelaksanaan perubahan serta mandat pelaburan setiap dana.

Ini kerana bukan semua pelabur asing mengikuti indeks MSCI. Justeru, perubahan klasifikasi tidak semestinya menyebabkan semua pelabur menjual pegangan saham mereka.

Namun, jangkaan terhadap perubahan tersebut boleh menyebabkan aktiviti dagangan tertumpu pada tarikh penyelarasan semula indeks, sekali gus meningkatkan jumlah dagangan dan berpotensi mempengaruhi harga saham serta kos transaksi.

Kredit: AFP

Selain itu, klasifikasi MSCI turut memainkan peranan dalam pembentukan portfolio pelaburan.

Menurut kajian MSCI yang merangkumi data sehingga April 2026, faktor khusus sesebuah negara menyumbang antara 60 hingga 90 peratus kepada perbezaan pulangan saham dalam Pasaran Sedang Membangun sepanjang sebahagian besar tempoh kajian.

Bagi Pasaran Barisan Hadapan pula, sumbangan faktor tersebut dianggarkan sekitar 85 hingga 95 peratus.

Sebaliknya, faktor industri dan gaya pelaburan memainkan peranan lebih besar dalam Pasaran Maju, dengan faktor khusus negara hanya menyumbang sekitar 12 hingga 15 peratus kepada perbezaan pulangan saham berdasarkan pemerhatian terkini.

Perbezaan ini menunjukkan bahawa perkembangan politik, perubahan peraturan serta tahap keyakinan pelabur boleh memberikan pengaruh yang lebih besar terhadap prestasi saham dalam Pasaran Sedang Membangun dan Pasaran Barisan Hadapan.

Intipati
  • MSCI menyediakan indeks, data dan alat analisis untuk membantu pelabur menilai pasaran global.
  • Malaysia berada dalam kategori Pasaran Sedang Membangun bersama China, India, Indonesia dan Thailand.
  • Klasifikasi MSCI boleh mempengaruhi agihan modal dana yang mengikuti indeks pasaran saham global.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan