Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan negaranya tidak takut kepada MSCI susulan cadangan penyedia indeks global itu mengubah status pasaran saham Indonesia.
Prabowo mendakwa MSCI cuba menakut-nakutkan Indonesia, namun beliau menegaskan negara itu tidak akan gentar atau menyerah ketika berdepan tekanan.
“Saya hanya ingin mengatakan kepada MSCI, bangsa Indonesia tidak takut kepada sesiapa dan tidak akan gentar,” katanya.
Prabowo Tempelak MSCI

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam mesyuarat kabinet penuh sempena dua tahun pentadbiran Prabowo-Gibran di Istana Presiden, Jakarta, Rabu (21 Oktober).
Dalam ucapannya, Prabowo mengakui kerajaan masih berdepan pelbagai cabaran meskipun sudah melaksanakan pelbagai usaha sepanjang tempoh pentadbirannya.
Menurutnya, rakyat Indonesia mengharapkan lebih banyak kemajuan, manakala pelbagai kesukaran dan gangguan masih perlu ditangani oleh kerajaan.
“Kita telah bekerja dengan baik, tetapi kita tahu cabaran yang dihadapi masih sangat besar. Rakyat mengharapkan lebih banyak daripada kita.
“Masih banyak kesukaran yang perlu dihadapi, masih banyak gangguan dan kita terus berdepan pelbagai halangan. Apa pula kali ini? Macam-macam, termasuk MSCI,” katanya.
Prabowo turut menegaskan Indonesia mempunyai kekuatan dan keberanian, selain sanggup berkorban serta tidak mengenal erti menyerah ketika menghadapi cabaran.
“Kita tidak takut. Kita mempunyai kekuatan, kita mempunyai keberanian dan kita sanggup berkorban. Kita mempunyai kekuatan dan kita tidak mengenal erti menyerah,” katanya.
MSCI sebelum ini mengumumkan cadangan untuk mengklasifikasikan semula pasaran saham Indonesia daripada kategori pasaran sedang pesat membangun kepada kategori pasaran kendiri (Standalone Market).
Cadangan itu dibuat susulan kebimbangan pelabur terhadap ketelusan struktur pemilikan saham dan pegangan saham tertumpu, selain dakwaan aktiviti dagangan terancang dalam pasaran tersebut.
MSCI turut menyatakan pembaharuan yang diumumkan pihak berkuasa Indonesia masih belum menunjukkan kesan ketara secara konsisten terhadap fungsi pasaran saham negara itu.
Keputusan akhir mengenai cadangan perubahan status tersebut dijadualkan diumumkan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2027, selepas tempoh rundingan dengan peserta pasaran berakhir pada 30 April 2027.

