Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Nik Hasyudeen Yusoff, menyindir respons Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, terhadap kebimbangan MSCI mengenai pasaran saham negara itu.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau mempersoalkan pendekatan Prabowo yang dilihat lebih menonjolkan laungan semangat berbanding usaha menangani masalah pasaran saham Indonesia.
Nik Hasyudeen berkata beliau tidak menjangkakan respons sedemikian daripada Prabowo terhadap tindakan MSCI yang mahu mengeluarkan Indonesia daripada indeks negara membangun.

“Saya tidak menjangka respon Presiden Indonesia kepada tindakan MSCI mahu mengeluarkan Indonesia dari indeks negara membangun.
“Bagi Presiden Prabowo, dia boleh selesaikan masalah itu hanya dengan melaung kepada MSCI, ‘Bangsa Indonesia tidak takut!’,” tulisnya.
Menurut beliau, kegagalan menangani perkara yang perlu diperbaiki boleh menjejaskan penilaian pasaran saham Indonesia serta mengurangkan jumlah modal yang memasuki pasaran negara itu.
Malah, beliau turut mengaitkan laungan Prabowo itu dengan kebakaran hutan yang masih berlaku di Indonesia.
“Mungkin dia juga telah laungkan perkara yang sama kepada api yang sedang membakar hutan di seluruh Indonesia. Jika api tu padam, bomoh Siam pun kalah!” katanya.
Dalam hantaran sama, Nik Hasyudeen turut membangkitkan isu kebakaran hutan di Indonesia dan dakwaan bahawa syarikat dari Malaysia serta Singapura menjadi puncanya.
Beliau mempersoalkan tindakan menyalahkan syarikat dari negara jiran sedangkan pihak berkuasa Indonesia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana syarikat yang didapati melakukan kesalahan.
“Satu lagi kaedah yang sedang digunakan ialah menyalah syarikat-syarikat dari Singapura dan Malaysia yang kononnya membakar hutan Indonesia.
“Eh, tak kan bangsa yang berani tak boleh kuat kuasakan undang-undang sendiri? Ambil tindakan sajalah. Kami pun tak marah,” tulisnya.
Beliau turut mengingatkan pihak berkuasa Indonesia supaya tidak mengabaikan syarikat tempatan, tanpa mengira hubungan mereka dengan kerajaan negara itu.
“Namun, jangan lupa syarikat-syarikat dari negara sendiri, persetankan sama ada mereka ada hubungan baik dengan Jakarta atau tidak. Rakyat kamu sendiri yang sedang menghidu asap dan habuk dari karhutla kamu tu,” katanya.
Nik Hasyudeen Ingatkan Malaysia Bijak Memilih Pemimpin
Mengulas kepimpinan Indonesia, beliau yakin negara itu mempunyai ramai individu bijaksana dan jujur yang berupaya membawa Indonesia ke tahap lebih tinggi.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada rakyat Indonesia benar-benar mahukan kepimpinan sedemikian atau lebih mengutamakan imbuhan sekali-sekala serta retorik politik.
Dalam pada itu, beliau menyuarakan harapan agar rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada perkembangan di negara jiran itu.
Nik Hasyudeen berkata jumlah undi yang besar dalam pilihan raya bukanlah bukti seseorang pemimpin mempunyai keupayaan mentadbir negara dengan baik.
“Ingat, pilihan raya bertujuan memilih orang yang mampu membawa negara ke hadapan, bukan sekadar menyokong naratif dan retorik kosong.
“Kemampuan mentadbir itu lebih penting. Jika silap pilih, sendiri tanggung, tau!” pesannya.

