Murid Tahun Enam Maut Dipercayai Terkena Renjatan Elektrik
KUALA LUMPUR — Seorang murid Tahun Enam maut disyaki akibat terkena elektrik di sebuah sekolah di Serdang, Selangor, semalam, lapor Astro AWANI.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan mengesahkan kejadian selepas pihaknya menerima laporan berkaitan insiden berkenaan sekitar jam 6.30 petang.
“Seorang wanita tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di kawasan Serdang sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.50 petang,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lebih lanjut, Anbalagan berkata pihak polis kini masih menunggu laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa bagi mengenal pasti kejadian sementara siasatan masih dijalankan.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta mengeluarkan sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan,” katanya lagi.
Terdahulu, seorang pelajar tahfiz maut selepas terkena renjatan elektrik ketika memegang mentol lampu di kantin asrama madrasahnya.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian pada 10.27 malam itu, Muhammad Fahim Rasyidi Shariful Hadi, 18, yang merupakan pelajar Madrasah Tahfiz Al Quranil Hakim, Kampung Gong Penaga, Jabi di sini, membasuh tangan di singki kantin asrama selepas selesai minum malam.
“Ketika berada dekat singki itu mangsa memegang mentol lampu elektrik yang sedang menyala yang berada berhampiran singki dan tiba-tiba mangsa terkena renjatan elektrik lalu rebah di tempat kejadian
“Kejadian dipercayai berlaku kerana tangan mangsa dalam keadaan basah ketika memegang mentol lampu tersebut dan cuaca pula hujan lebat,” katanya dalam kenyataan hari.
Abdul Rozak berkata mangsa kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut oleh guru di madrasah tersebut.
Bagaimanapun katanya mangsa yang berasal dari Klang, Selangor disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 11.35 malam.
Sumber: Astro AWANI