Isu Pensyarah UM Didakwa Lakukan Gangguan Seksual Sedang Disiasat – KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan Unit Integriti Universiti Malaya (UM) dan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan secara aktif berkenaan kes gangguan seksual yang didakwa melibatkan seorang profesor di UM.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, KPT menjelaskan pihaknya memandang serius sebarang isu melibatkan salah laku dan pelanggaran tatacara dalam kalangan warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
“Kementerian dimaklumkan isu ini telah ditangani secara rasmi sejak tarikh aduan diterima. Unit Integriti UM sedang menjalankan siasatan secara aktif. Semua prosedur serta peraturan berkaitan dipatuhi sepenuhnya,” jelas KPT.
BACA: Tiga Penuntut IPT Ditahan Disyaki Terlibat Kes Pukul Rakan
Dalam kenyataan tersebut, KPT turut menjelaskan berkenaan garis panduan dan peraturan khusus yang perlu diikuti pihak UM berkenaan isu gangguan seksual.
“Langkah-langkah yang sewajarnya sedang diambil untuk melindungi hak semua pihak. Kenyataan media berhubung kes ini turut dikeluarkan oleh pihak universiti sebelum ini.
“Difahamkan, individu yang dikaitkan juga telah membuat laporan polis dan siasatan kini sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” tambahnya.
KPT menegaskan sebarang tindakan perlu selaras dengan undang-undang sedia ada kerana langkah yang melanggar tatacara perundangan akan mencabuli proses siasatan yang sedang berlangsung.
Dalam pada itu, pihak KPT turut meminta semua pihak memberi ruang agar siasatan menyeluruh dapat dilaksanakan.
“Kementerian dan UM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti bersalah melakukan pelanggaran undang-undang. Tindakan tatatertib yang tegas akan diambil,” tegas KPT.
Terdahulu, tular di media sosial yang menyaksikan pelajar UM mendakwa menerima gambar seorang profesor tanpa pakaian. Gambar tersebut telah dicetak dan dipamekan di sekitar kampus sebagai amaran kepada pelajar lain. Namun, gambar tersebut telah diturunkan.
Susulan itu juga, orang ramai menggesa pihak pengurusan UM agar melakukan siasatan secara menyeluruh dan telus bagi menangani isu ini.
BACA: Persatuan Haiwan Malaysia Gesa UM Siasat Kematian Kucing
BACA: BNM Umum Langkah-Langkah Interim Bantu Tangani Kesan Pelarasan Premium Insurans & Takaful Perubatan
Sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi