Siakap Keli
gempa tak guna skala richter
Gempa di Tibet | Gambar: AFP

Ini Sebab Kenapa Dah Tak Guna Skala Richter Untuk Sukat Gempa

Ini Sebab Kenapa Dah Tak Guna Skala Richter Untuk Sukat Gempa

Ramai daripada kita sedar bahawa saiz satu-satu kejadian gempa bumi biasanya dilaporkan dalam unit Skala Ricter.

Menurut Pusat Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), idea skala magnitud gempa bumi logaritma ini pertama kali dibangunkan oleh Charles Richter pada tahun 1930-an.

Ketika itu, beliau membangunkan skala berkenaan untuk mengukur saiz gempa bumi yang melanda Selatan California di Amerika Syarikat berpandukan data frekuensi yang dikumpul dari stesen seismograf berdekatan.

Skala magnitud ini kemudian disebut dalam ML dengan L merujuk kepada local/tempatan. Penggunaan skala yang digagaskan oleh Ricter itu seterusnya menjadi popular dan mula dikenali sebagai Skala Richter.

Sebab saiz gempa bumi tak lagi diukur guna Skala Richter

Bagaimanapun, dengan bertambahnya stesen seismograf di serata dunia, penyelidik mula memahami bahawa bacaan Skala Ricter hanya sah dan terhad untuk frekuensi serta jarak tertentu sahaja.

Disebabkan itu, penyelidik berusaha membangunkan skala magnitud yang baru yang merupakan lanjutan kepada idea skala magnitud asal yang dibangunkan oleh Richter.

Antaranya yang diperkenalkan termasuklah magnitud gelombang badan (Mb) dan magnitud gelombang permukaan (Ms).

Namun, bacaan kedua-dua skala magnitud ini juga hanya terhad untuk jarak frekuensi dan jenis isyarat seismik tertentu sahaja. Jika mengambil kira julat kesahihannya, kedua-dua skala ini diposisikan sama seperti Skala Richter.

Oleh kerana batasan penggunaan yang ada dalam skala ML, Mb dan MS, sebuah skala baru yang lebih seragam iaitu skala magnitud momen telah dibangunkan pada 1970-an.

Skala magnitud momen digunakan sehingga ke hari ini

Secara umumnya, skala magnitud momen yang digunakan sehingga ke saat ini memberikan bacaan anggaran saiz gempa bumi yang lebih dipercayai, terutamanya untuk kejadian gempa bumi kuat.

Skala magnitud momen atau skala magnitud ini merujuk kepada momen iaitu kuantiti fizikal yang berkadar dengan gelinciran pada sesar dan didarabkan dengan keluasan permukaan yang tergelincir.

Ia berkait dengan jumlah tenaga yang dilepaskan dalam kejadian gempa bumi. Momen boleh dianggarkan daripada seismogram (stesen seismograf) dan juga bacaan daripada peralatan ukuran geodetik.

Bacaan ini seterusnya diterjemah ke dalam nombor yang sama seperti bacaan magnitud gemba bumi yang lain berdasarkan formula standard dan dikenali sebagai magnitud momen.

Menurut USGS, skala magnitud momen memberikan anggaran gempa bumi yang sah pada julat magnitud yang lengkap, menutup kekurangan yang ada pada bacaan skala magnitud yang lain.

Sementara MIT News pula berkata, gempa bumi biasanya menghasilkan pelbagai jenis gelombang yang bermula daripada titik gempa dan bergerak dalam frekuensi yang pelbagai.

Berbanding skala richter, skala magnitud momen dapat dapat mengira lebih banyak gelombang dan pada lebih banyak frekuensi.

Oleh itu, skala berkenaan lebih baik dalam menganggarkan jumlah tenaga yang dilepaskan oleh satu-satu kejadian gempa.

Walaupun skala richter bukan lagi ukuran utama yang digunakan untuk menentukan saiz gempa, namun ia masih digunakan lagi digunakan dalam sesetengah laporan media.

BACA: Gempa Kuat 7.1M Gegar Tibet, 93 Maut Setakat Ini

Sumber: Pusat Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.