Baru Selesai Susukan Bayi, Wanita Meninggal Dalam Pelukan Suami
Kehilangan orang tersayang, seperti suami atau isteri, merupakan satu detik yang sangat berat dan tidak mudah untuk dilalui oleh sesiapa sahaja.
Apabila mereka pergi meninggalkan dunia yang sementara ini, separuh daripada jiwa kita turut ikut bersama. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa sedih dalam diri melihat orang yang kita cintai pulang ke negeri abadi, kan?
Ada yang terduduk dan kehilangan arah hingga teramat payah untuk bangkit semula. Kesunyian mula mengisi diri, gelak ketawa dan kenangan manis bersama sentiasa akan bermain-main di kepala.
Namun apabila diri mula menerima takdir dan ketentuan yang sudah ditetapkan Allah SWT, kekuatan akan mula kembali sedikit demi sedikit.
Sebagai hamba yang taat kepada Yang Maha Mencipta, kita harus belajar untuk redha dan menerima hakikat bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.
Wanita meninggal dunia ketika tidur dalam pelukan suami
Begitulah kisah yang dikongsikan oleh seorang lelaki yang baharu sahaja kehilangan isteri dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.
Menurut @amirul_n4fis di laman Threads, suri hati hidup menghembuskan nafas terakhir ketika tidur dalam pelukannya selepas selesai menyusukan bayi mereka yang baru berusia dua bulan.
“Allah. Pergi dalam tidur, dalam pelukan saya. Selesai susukan baby, dia tidur dan ajalnya dijemput dalam tidur.”
Kata @amirul_n4fis, pemergian arwah memang mengejutkan kerana isterinya tidak menunjukkan atau mengadu sedang sakit sebelum ini kepadanya.
Susulan kematian mengejut tersebut, jenazah arwah isterinya dihantar ke hospital dan dibedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
Hasil bedah siasat yang dibuat, doktor memaklumkan bahawa isterinya mengalami jangkitan di bahagian paru-paru.
Dalam pada itu, @amirul_n4fis memaklumkan mereka sekeluarga sempat meluangkan masa bersama dengan pergi bercuti dan baru sahaja beberapa hari yang lalu.
Sempat muat naik gambar bersama bayi mereka di status Whatsapp
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarhamah Nur Izzaty Hafizah memuat naik status di aplikasi Whatsapp yang memaparkan gambar arwah sedang memegang bayinya di tepi pantai.
“Selamat jalan bidadariku. Terima kasih hadir dalam hidup papa selama 582 hari. 6/1/2025 papa kehilangan sayang. Kita dah plan macam-macam tetapi Allah lebih sayangkan mama.
“Papa redha. Papa akan jaga amanah Allah yang ada dan Faleeq tetap akan papa jaga. Membesar dengan baik. Papa sayang mama sangat-sangat tetapi Allah lebih sayangkan mama.
“Nanti hari-hari datang tengok mama. Doakan papa dan Faleeq ya,” ujar @amirul_n4fis.
Coretan @amirul_n4fis di laman Threads ternyata meruntun jiwa ramai orang dan mereka mendoakan supaya Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Dalam pada itu, pengguna Thread turut mendoakan agar @amirul_n4fis sentiasa diberi kekuatan serta tabah menghadapi ujian ini.
BACA: Pemandu Bas Ekspres Parah, Kemalangan Libat Lapan Kenderaan
Takziah diucapkan kepada keluarga Allyarhamah. Semoga rohnya ditempat dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber: @amirul_n4fis via Threads