Insiden Bumbung Axiata Arena Bocor, PSM Mohon Maaf
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) membuat permohonan maaf susulan insiden kebocoran bumbung yang berlaku di Axiata Arena semalam.
Kejadian itu telah menjejaskan aksi Badminton Terbuka Malaysia yang terpaksa dihentikan seketika.
“PSM memohon maaf kepada semua pihak terutamanya penganjur dan peminat sukan badminton atas insiden kebocoran bumbung yang berlaku di Axiata Arena,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, PSM berkata masalah kebocoran itu adalah kerana proses penggantian bumbung lama sejak 1998 kepada baharu yang telah dibuat pada pertengahan 2024.
“Proses pertukaran bumbung oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh JKR mengambil masa selama setahun melalui kaedah tidak perlu menutup Axiata Arena bagi penganjuran acara.
“Sejak pertengahan tahun 2024 sehingga kini, tiada sebarang kebocoran berlaku di kawasan arena,” kata PSM.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata kebocoran berlaku disebabkan air hujan yang menitis dan terkena pada gelanggang.
Rentetan itu, PSM dengan kerjasama kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja segera untuk mengalirkan air ke tempat lain sejak pukul 4.30 petang.
Gelanggang juga sudah boleh boleh digunakan semula pada jam 8.00 malam.
BACA: Terbuka Malaysia 2025: Bumbung Bocor, Aksi Tergendala
“PSM dan kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja yang lebih untuk memastikan masalah ini tidak berulang pada hari-hari berikutnya,” katanya.
PSM dan kontraktor juga akan menyediakan lebih 10 orang kakitangan untuk bersedia di bumbung selepas ini sepanjang kejohanan berlangsung. Langkah ini dilakukan agar insiden seperti itu tidak lagi berulang.
“Pihak JKR dan kontraktor juga memberi kerjasama untuk membuat kerja-kerja yang bersesuaian dan ia sedang berjalan.
“PSM telah pun mengenalpasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan menyegerakan kerja-kerja yang perlu dilakukan,” kata PSM.
Menurut kenyataan itu lagi, satu mesyuarat juga telah diadakan oleh PSM dengan pihak JKR Wilayah Persekutuan dan kontraktor pada 30 Disember 2024.
Ia menekankan kepentingan acara agar tidak terganggu dengan kerja penukaran bumbung dan telah diberi keyakinan bahawa pihak kontraktor akan membuat tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, beberapa perlawanan yang tergendala semalam telah dibawa ke hari ini. Perkara tersebut disahkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sumber: PSM