Lima Maut Dalam Kebakaran Hutan Di Los Angeles
Amerika Syarikat – Sekurang-kurangnya lima orang terkorban apabila kebakaran hutan di sekitar Los Angeles merebak pada Rabu, lapor AFP.
Menurut pihak berkuasa, anggota bomba dan penyelamat menghadapi kesukaran apabila kebakaran marak dengan begitu cepat. Lebih 1,000 bangunan terbakar akibat kemarakan api yang berlaku di bandar kedua terbesar Amerika Syarikat itu sehingga memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Angin kencang seperti taufan membuatkan ‘bola api’ berterbangan dari rumah ke rumah di kawasan elit Pacific Palisades, membakar kawasan perumahan mewah yang sering menjadi pilihan selebriti Hollywood.

Ketua Bomba Daerah Los Angeles, Anthony Marrone berkata, pasukannya tidak mampu menangani skala dan kemarakan bencana ini.
“Kami sedang lakukan yang terbaik. Tetapi, kami tidak mempunyai anggota bomba yang mencukupi di Daerah Los Angeles untuk menangani keadaan ini,” jelasnya.
Kebakaran yang berlaku di Pacific Palisades telah memusnahkan sekitar 16,000 ekar (6,500 hektar) setakat Rabu. Bencana ini mengakibatkan 1,000 rumah dan premis perniagaan terbakar.
Sementara itu, kebakaran yang berlaku berasingan di sekitar Altadena iaitu seluas 10,600 ekar mula merebak ke kawasan perumahan.

Sherif Daerah Los Angeles, Robert Luna mengesahkan angka korban kini meningkat daripada dua kepada lima, dengan lebih angka korban dijangka dicatatkan.
“Malangnya, angka kematian kini meningkat kepada lima sementara kami meneruskan pencarian di kawasan ini. Perlu diingat, situasi ini masih dalam keadaan tidak menentu, masih belum ada pengawalan kebakaran.
“Saya berdoa agar kami tidak menemui (mangsa korban) lagi tetapi saya tidak yakin tentang itu,” katanya.
Menurut Marrone, arahan pemindahan yang melibatkan kira-kira 70,000 penduduk di seluruh kawasan telah dikeluarkan. Sebilangan besar orang yang tidak mematuhi amaran tersebut mengalami cedera parah.

Dalam pada itu, kebakaran yang semakin pantas merebak disebabkan angin kencang mengakibatkan bara api merebak sejauh ratusan meter. Kemudiannya mencetuskan kebakaran kecil baharu yang lebih pantas berbanding usaha pemadaman api.
Penduduk diarahkan tidak keluar ke jalan berikutan berlaku pokok tumbang dan dahan yang patah menghalang pergerakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Air dan Tenaga Los Angeles, Janisse Quinones meminta penduduk berjimat dalam menggunakan air berikutan pili bomba di Pacific Palisades kehabisan bekalan air.
“Kami sedang melawan kebakaran hutan menggunakan sistem air bandar dan ia sangat mencabar,” ujarnya.

Presiden Amerika, Joe Biden yang kini berada di Los Angeles bersama Gabenor California, Gavin Newsom, menerima penerangan mengenai situasi yang digelarnya “sangat mengejutkan”.
“Kami sedang melakukan apa sahaja yang kami mampu dan selama mana yang diperlukan untuk mengawal kebakaran ini,” jelas Biden.
Sebagai pengetahuan, kebakaran hutan sering berlaku di Amerika Syarikat Barat. Malah, ia turut memainkan peranan yang amat penting terhadap alam semula jadi. Namun, saintis berpendapat perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia telah mengubah corak cuaca.
California Selatan mengalami musim kemarau selama dua abad, kemudiannya diikuti dua tahun yang sangat basah. Keadaan ini menyebabkan pertumbuhan vegetatif yang ketara sehingga menjadikan kawasan tersebut dipenuhi bahan bakar.
BACA: Enggan Dipeluk Suami, Wanita Ditikam Hingga Maut
Menurut ahli meteorologi, Daniel Swain, angin kencang yang berkelajuan 100 batu (160 kilometer) sejam, iaitu lebih kuat bertiup berbanding angin bermusim Santa Ana bukan di luar jangkaan.
“Angin merupakan pemacu utama namun pemangkin sebenar ialah kekeringan yang luar biasa ini. Kekurangan hujan serta kehangatan dan kekeringan luar biasa yang kita alami selama enam bulan terakhir, itu sesuatu yang kita tidak pernah lihat dalam rekod sejak 1800-an,” jelasnya.
Sumber: AFP