Siakap Keli
Kredit Gambar: Bernama

Video Visit Malaysia 2026 Promosi Malaysia Secara Keseluruhan – Tiong

Video Visit Malaysia 2026 Promosi Malaysia Secara Keseluruhan – Tiong

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meluahkan rasa kesal apabila terdapat sesetengah pihak cuba memainkan isu agama dan perkauman menerusi video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026, lapor Astro Awani.

King Sing berkata video tersebut bertujuan mempromosi pelancongan, keindahan seni dan budaya. Malah ia turut mempromosi produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan.

“Berhubung isu tular mengenai video montaj pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia (Visit Malaysia) 2026 yang dikatakan tidak memaparkan masjid sebagai sebahagian daripada visual promosi tersebut, saya ingin menegaskan bahawa tujuan utama video tersebut adalah untuk mempromosikan pelancongan, keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan.

“Ia meliputi perpaduan, perkembangan ekonomi serta hala tuju negara ke hadapan, bukannya mengenai agama atau perkauman,” ujarnya.

Katanya lagi, video yang berdurasi 41 saat tersebut bertumpu kepada penampilan keunikan yang ada pada Malaysia secara inklusif. Orang ramai diharap dapat memahami bahawa video pelancaran sememangnya ringkas dan bersifat umum.

“Malaysia mempunyai pelbagai keindahan dan keunikan di negara ini, termasuk seni bina masjid yang memukau.

“Untuk itu, elemen-elemen tersebut telah dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci.

“Malah ia memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus, di mana video ini dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Mana-mana elemen yang menonjolkan seni, budaya, dan daya tarikan pelancongan Malaysia secara menyeluruh akan disertakan dalam video tersebut. Contohnya Silat, Tarian Ngajat dan Tarian Sumazau yang melambangkan keindahan budaya dan semangat perpaduan negara,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menentang sikap segelintir pihak yang seumpama mencabar keharmonian sosial negara. Tindakan sesetengah pihak yang memutarbelitkan usaha kerajaan amat ditentang.

“Saya amat kesal dengan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu ini sebagai sentimen agama dan perkauman, serta menjadikan isu ini sebagai bahan perpecahan. Sikap golongan ekstremis seperti inilah yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial kita, bukan usaha promosi yang dilakukan oleh Kementerian.

“Sepatutnya, kita semua mengutamakan perpaduan, saling menghormati, dan kesejahteraan bersama,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, semua pihak diharap faham bahawa tumpuan utama di sini ialah untuk mempromosi Malaysia menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia. Seterusnya memastikan sektor pelancongan, seni dan budaya mampu memperkukuh ekonomi negara.

“Saya menyeru kepada semua pihak, tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang, agar tidak mempolitikkan isu ini atau menjadikannya sebagai isu agama atau perkauman.

“Ingatlah, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang menekankan nilai inklusiviti dan perpaduan. Janganlah biarkan isu-isu sebegini menjadi penghalang keharmonian masyarakat, seterusnya menjejaskan imej negara kita di persada dunia,” jelasnya.

BACA: Ramai Puji Logo Visit Malaysia 2026, Maskot Jadi Tumpuan

Sumber: Astro Awani

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.