Asrama Terbakar, Pelajar Tahfiz Ditemui Meninggal Sambil Peluk Al-Quran
Indonesia – Seorang pelajar tahfiz di sebuah sekolah pondok Sulawesi Selatan ditemui meninggal dunia sambil memeluk senaskhah Al-Quran miliknya, lapor Serambi News.
Kebakaran yang berlaku di asrama Pondok Pesantren DDI Patobong, Kabupaten Pinrang itu berlaku pada jam 1 tengah hari waktu tempatan, Rabu lalu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pinrang, Inspektor Andi Reza Pahlawan memaklumkan kebakaran disyaki berpunca daripada litar pintas pada kipas.
“Kebakaran asrama lelaki di pesantren DDI Patobong berpunca daripada litar pintas elektrik pada palam kipas di salah sebuah bilik,” jelasnya.
Litar pintas itu menghasilkan percikan api yang kemudiannya dibawa angin lalu membakar asrama pondok itu.
Kebakaran berjaya dipadam sekitar jam 3.30 petang waktu tempatan.
Menurut Andi, mangsa kebakaran, Muhammad Zahwa, 14, dipercayai berada di dalam masjid bagi menunaikan solat Zohor ketika kebakaran berlaku. Sejurus mendengar mengenai berlakunya kebakaran, mangsa segera berlari ke bilik bagi mendapatkan pakaian dan Al-Quran miliknya.
“Mangsa terus ke biliknya dengan niat untuk mengambil pakaian dan Al-Quran,” tambahnya.
Namun, mangsa terperangkap dalam api ketika berada di dalam bilik. Asap tebal juga berkemungkinan menjadi penghalang kepada mangsa untuk mencari jalan keluar.
“Dia tidak berjaya keluar,” ujar Andi.
Apabila api telah berjaya dipadamkan, jenazah mangsa ditemui dalam keadaan sedang memeluk Al-Quran miliknya.
Punca kebakaran asrama lelaki yang mengorbankan seorang pelajar itu disiasat Pasukan Makmal Forensik Polis Sulawesi Selatan. Pasukan Makmal Forensik tiba di lokasi kebakaran pada Khamis, sekitar jam 12.30 tengah hari waktu tempatan.
Siasatan dijalankan selama empat jam bermula 1 tengah hari sehingga 4 petang waktu tempatan.
“Ya, kami bersama Pasukan Makmal Forensik selama kira-kira empat jam. Disebabkan kami memulakan siasatan dengan melakukan rondaan, kami dapat mengenal pasti lokasi kejadian termasuk keadaan elektrik tersebut,” jelas Andi.
Dalam pada itu, Pasukan Makmal Forensik turut mengambil keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan.
“Beberapa orang saksi telah diambil keterangan, malah pihak Perusahaan Elektrik Negara (PLN) turut dihubungi berkenaan bekalan elektrik,” katanya.
Andi turut menjelaskan bahawa pihak Pasukan Makmal Forensik telah mengambil beberapa bahan bukti bagi memeriksa punca kebakaran berlaku.
BACA: Dua Pelajar Maut, Empat Cedera Akibat Disambar Petir
Sumber: Tribun