Baru-baru ini tular mengenai seorang hartawan tempatan yang mewakafkan tiga buah masjid di sekitar Langkawi dan Seremban. Masjid A’ishah Sungai Menghulu, Masjid Hussain Seremban 2 dan Masjid Sri Sendayan Seremban merupakan tiga masjid yang sebahagian besar kos pembinaannya dibiayai oleh Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Kedua masjid di Langkawi dan Seremban 2 diberi nama bersempena nama ibu dan bapa beliau.
Nama hartawan ini sebenarnya tidak asing lagi bagi dunia perbankan. Anak kelahiran Pulau Pinang yang kemudiannya membesar di Singapura ini menerima pendidikan di United Kingdom dalam The Stock Exchange Examination. Beliau merupakan antara anak Melayu terawal menerima kelayakan sebagai broker di sana.
Memulakan kerjayanya sebagai broker di Strauss Turnbull, London, beliau kemudiannya berkhidmat di Bumiputera Merchant Bankers Berhad pada 1975. Syarikat tersebut merupakan salah satu daripada empat bank pelaburan terawal yang mendapat lesen daripada Bank Negara.
Ketika tempoh ini, beliau telah dipinjamkan ke pelbagai institusi kewangan luar negara dengan memegang pelbagai jawatan. Antara syarikat yang pernah disertai beliau ialah Daiwa Securities di Tokyo dan Salomon Brothers di New York sekitar 1980-an.
Dengan hanya bersama 12 orang pekerja, Tan Sri mengasaskan syarikat broker saham Rashid Hussain Securities Sdn Bhd pada 1983. Syarikat ini menjadi antara yang pertama tersenarai di Kuala Lumpur Stock Exchange.
Dengan pengalaman yang begitu berharga ini, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menjadi pengasas bersama Kumpulan RHB yang kini dikenali antara organisasi kewangan terbesar dalam Malaysia.
Berpengalaman pegang banyak jawatan penting
Selain mengasaskan kedua institusi kewangan ini, beliau turut terlibat dalam mengasaskan beberapa organisasi lain termasuk sebagai Ahli Pengasas Asian Corporate Governance Committee. Kini, beliau merupakan salah seorang Ahli Pengasas dan Pengerusi Yayasan Program Pertukaran Fellowship Perdana Menteri Malaysia.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Ekskutif Khazanah Nasional Berhad bermula pada 1994 sehingga 1998. Setelah itu, beliau menerima pula pelantikan sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari 1995 sehingga 2000.
Selain itu, beliau juga pernah dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah bagi International Insitute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC) Trust Fund.
Hari ini, tokoh yang disegani ramai ini merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Penasihat Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2025-2035, Kementerian Pendidikan Tinggi.
Beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2023.
Pada tahun itu juga, beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M.
Dalam masa sama, beliau menjadi Ahli Lembaga Gabenor, Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran, Pengerusi Jawatankuasa Semakan Perlembagaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Memberi semula kepada masyarakat, beliau tidak berhenti menyumbang kepada pembangunan institusi keagamaan. Asprasi ketiga-tiga masjid ini menjadi pusat komuniti yang berfungsi sebagai pusat ilmu dan aktiviti kemasyarakatan, bukan hanya sebagai pusat keagamaan semata-mata.
Masjid A’ishah
Mempunyai keluasan 0.536 hektar, masjid A’ishah yang terletak di Sungai Menghulu, Langkawi ini pada awalnya merupakan sebuah surau dan balai raya.
Pada tahun 1993, Allahyarham Dato’ Harun Din telah bertanggungjawab membeli tanah tambahan seluas 1 ekar di situ. Ketika ini, rancangan untuk membina masjid menjadi impian yang sangat besar dalam kalangan kariah.
Menginjak ke tahun 1995, masjid yang bernilai RM3 juta itu mula dibina. Menurut laman web masjid terbabit, asas dana pembinaan telah disumbangkan oleh kariah sebanyak RM600,000 dan selebihnya telah dibiayai oleh Tan Sri Abdul Rashid.
Ia boleh digunakan sepenuhnya pada 25 Disember 1997 dan Dato’ Harun Din menjadi pembaca khutbah Jumaat pertama di masjid terbabit.
Bagi mengenang jasa sumbangan besarnya, nama Masjid A’ishah telah diberikan sempena nama ibu beliau.
Masjid Hussain
Terletak di bandar Seremban 2, masjid ini mampu menampung sehingga 3,500 orang jemaah pada satu-satu masa.
Ia dibina pada tahun 2014 dan menelan belanja sebanyak RM22.6 juta.
Selain menunaikan solat, masjid ini juga terbuka untuk aktiviti asas seperti program fardu ain dan ilmiah, majlis akad nikah, jamuan serta pengurusan jenazah.
Masjid Sri Sendayan
Masjid yang menjadi perhatian ramai ini mula dibangunkan pada tahun 2015 dan dibina di atas tanah seluas 4.5 hektar.
Dapat menampung lebih 3,000 jemaah dalam satu masa, ia mula dirasmikan untuk kegunaan ramai pada 20 September 2019.
Keindahan masjid terbabit yang dikatakan seakan mirip dengan Masjid Nabawi di Madinah turut menjadi tumpuan pelancong dari luar negara.
Menariknya, ia juga mempunyai pusat untuk anak yatim dengan boleh memuatkan seramai 52 penghuni. Ia turut dilengkapi dengan bilik ulangkaji dan dewan makan.
BACA: Ini Sebab Lantai Masjidil Haram Sentiasa Sejuk
Sumber: Masjid Aishah Sungai Menghulu, Masjid Hussain Seremban 2, Masjid Sri Sendayan Seremban, Astro Awani, Wawasan Open University, Tabung Haji