Los Angeles Kelihatan Seperti ‘Adegan Perang’ Selepas Kebakaran – Biden
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyifatkan keadaan di Los Angeles seperti ‘adegan perang’ apabila kebakaran besar berterusan memusnahkan kawasan kejiranan di sana, lapor AFP.
Beliau menambah, terdapat bukti kukuh menunjukkan berlaku kegiatan mencuri ketika keadaan tidak menentu. Sementara itu, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menyebarkan maklumat yang tidak tepat mengenai kebakaran yang membawa maut itu.
“Ia mengingatkan saya kepada adegan perang, di mana satu-satu tempat itu menjadi sasaran pengeboman. Ia hampir kelihatan seperti medan pertempuran.
“Juga, ada bukti jelas bahawa berlakunya kegiatan mencuri. Terdapat bukti individu memasuki premis komuniti mangsa dan mencuri,” kata Biden selepas menerima taklimat berkenaan kebakaran itu.
Perintah berkurung telah dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa pada waktu malam di beberapa bahagian di Los Angeles. Perintah ini hanya melibatkan kawasan yang terjejas akibat kebakaran besar berikutan kebimbangan terhadap kejadian mencuri.
Menurut Biden, kerajaan dalam proses menyediakan bantuan keselamatan dengan menggerakkan tentera dan Pengawal Kebangsaan.
Dalam pada itu, Biden turut menyindir kenyataan yang dikeluarkan oleh bakal Presiden, Donald Trump, yang didakwa cuba menyebarkan maklumat palsu berkenaan kebakaran besar ini. Perkara tersebut kemudiannya sengaja diperbesarkan di media sosial.
“Akan ada ramai demagog yang cuba mengambil kesempatan daripada situasi ini,” katanya yang merujuk kepada tragedi kebakaran tersebut.
Sementara itu, menurut Sherif Los Angeles, Robert Luna, 20 individu telah ditahan berikutan kejadian kecurian di premis yang terjejas akibat kebakaran.
“Sehingga malam tadi dan pagi ini, seramai 20 individu memilih untuk menceroboh kawasan kita dan mengambil kesempatan dengan merampas harta benda milik mangsa. Perkara ini tidak boleh diterima sama sekali,” tegasnya.
Berikutan itu, perintah berkurung dikuatkuasakan sehingga jam 6 petang waktu tempatan.
Terdahulu, Los Angeles disambar api marak dari kebakaran hutan yang bermula sejak 7 Januari. Kebakaran yang merebak dengan cepat akibat tiupan angin dan kekurangan tenaga kerja pasukan bomba menyebabkan api menjadi sukar dibendung.
Biarpun arahan pengosongan telah dikeluarkan dan puluhan ribu terpaksa meninggalkan kediaman mereka, masih ada penduduk yang enggan berganjak. Berikutan itu, 11 kematian telah dicatatkan setakat ini dengan lima terbunuh dalam kebakaran Palisades dan enam dalam kebakaran Eaton, menurut The Times.