Gencatan Senjata: Puluhan Terbunuh Serangan Di Gaza
Sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza selepas Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu telah menangguhkan pengundian kabinet berhubung perjanjian gencatan senjata, lapor Al Jazeera.
Memetik portal Al Jazeera, difahamkan Israel meningkatkan serangan dalam tempoh 24 lalu selepas pengumuman dibuat oleh Netanyahu.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel itu menyatakan bahawa perjanjian gencatan senjata bersama Hamas belum lengkap dan butiran akhir sedang diusahakan.
Gencatan Senjata Di Gaza Bermula Ahad, Kata PM Qatar
Menurut laporan bernama sebelum ini, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Mohammed bin Abdulrahman mengumumkan pada petang Rabu kejayaan pengantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, dengan pelaksanaannya dijadual bermula Ahad ini.
Dalam sidang media yang diadakan di Doha, Mohammed berkata fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan melibatkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.
Mohammed turut memaklumkan bahawa Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) “akan berusaha memastikan pelaksanaan perjanjian itu” dengan mekanisme bagi memantau pelaksanaannya serta menangani sebarang kemungkinan pelanggaran.
Menteri Qatar itu turut menyuarakan harapannya agar “tiada operasi ketenteraan akan dijalankan dalam tempoh menjelang pelaksanaan perjanjian itu.”
Sumber: Al Jazeera