Siakap Keli
Kredit: AFP

TikTok Tidak Lagi Beroperasi Di AS Bermula Esok

TikTok Tidak Lagi Beroperasi Di AS Bermula Esok

Aplikasi TikTok tidak lagi akan beroperasi di Amerika Syarikat (AS) bermula pada Ahad susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang mengekalkan undang-undang mengharamkan aplikasi media sosial tersebut, lapor AFP.

Pengharaman itu boleh ditarik semula jika kerajaan di bawah kepimpinan Joe Biden campur tangan iaitu dengan memberi jaminan undang-undang baharu yang menggesa larangannya tidak akan digunakan untuk menghukum penyedia perkhidmatan.

“Melainkan Pentadbiran Biden segera memberikan kenyataan muktamad untuk memuaskan hati penyedia perkhidmatan yang menjamin ketidakkuatkuasaan, namun malangnya TikTok akan dipaksa menghentikan operasi pada 19 Januari,” kata TikTok dalam satu kenyataan.

Mahkamah Agung AS masih mengekalkan undang-undang yang disokong oleh Presiden Joe Biden dan Kongres pada Jumaat. Difahamkan, pemilik aplikasi tersebut, ByteDance, turut diberi pilihan sama ada menjual TikTok atau menghentikan operasi.

BACA: Terminal Bersepadu Gombak Bakal Beroperasi 16 Februari

“Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih dan Jabatan Kehakiman gagal memberikan kejelasan dan jaminan yang diperlukan

“Ia penting bagi penyedia perkhidmatan untuk mengekalkan ketersediaan TikTok kepada lebih 170 juta rakyat AS,” kata TikTok selepas menerima keputusan Mahkamah Agung.

AFP memaklumkan keputusan sebulat suara mendapati undang-undang berkenaan tidak melanggar hak kebebasan bersuara di negara itu.

Bagaimanapun, ia telah memberi tamparan hebat kepada pemilik syarikat terbabit dan menimbulkan ketidakpastian mengenai apa yang akan berlaku sekiranya larangan itu dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, Mahkamah turut bersetuju dengan kebimbangan keselamatan negara tentang pemilikan aplikasi ByteDance iaitu syarikat dari China.

ByteDance dengan tegas menolak untuk menjual operasi di AS, seiring dengan pendirian yang turut disokong oleh Beijing, di mana mereka mengecam undang-undang terbabit sebagai tindakan ‘kecurian’.

AFP berkata, para hakim mengakui bahawa TikTok menawarkan saluran yang berbeza dan luas untuk berekspresi, cara berinteraksi dan sumber komuniti kepada lebih 170 juta rakyat AS.

BACA: Jalan 500km Balik Kampung Selepas Dihalau Isteri & Anak Tiri

Mahkamah dan kongres menyimpulkan penjualan aset perlu dilakukan untuk menangani kebimbangan keselamatan negara, malah disokong dengan baik mengenai amalan pengumpulan data serta hubungan TikTok dengan musuh asing.

Walaupun larangan tersebut telah berlaku, Rumah Putih di bawah pentadbiran Biden memaklumkan ia tidak akan menguatkuasakannya, namun menyerahkan perkara terbabit kepada presiden akan datang iaitu Donald Trump.

Menurut AFP, Donald Trump yang menentang larangan itu melakukan perbincangan mengenai aplikasi TikTok dengan Presiden China, Xi Jinping pada Jumaat lalu.

“Keputusan Mahkamah Agung sudah dijangka dan semua pihak mesti menghormatinya,” ujar bakal presiden AS menerusi Truth Social sambil mengatakan beliau memerlukan masa untuk mencari alternatif kepada larangan itu.

Sementara itu, undang-undang terbabit juga mengarahkan syarikat Apple dan Google untuk mengalih keluar aplikasi TikTok daripada gedung aplikasi mereka, selain menyekat muat turun baharu.

Kedua-dua syarikat ini boleh berdepan penalti sehingga AS$5,000 (kira-kira RM22,520) bagi setiap pengguna yang boleh mengakses aplikasi berkenaan.

BACA: Kos Pembangunan Semula Gaza Dianggarkan US$1 Trilion – Anwar

Sumber: AFP

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.