Real Betis Setuju Perjanjian Pinjam Antony Dari MU – Fabrizio
Satu perjanjian lisan termeterai apabila Real Betis bersetuju untuk menandatangani pemain sayap pasukan Manchester United, Antony Matheus dos Santos, secara pinjaman.
Menurut wartawan sukan, Fabrizio Romano, pemain tersebut akan kembali ke Manchester United pada Jun.
Fabrizio juga berkata perjanjian itu tidak disertakan bersama pilihan membeli pemain itu secara kekal.
Dengan langkah ini, Manchester United masih menanggung sebahagian daripada gaji Antony yang bernilai 200,000 pound, lapor The Sun.
Situasi ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada peminat Manchester United, malah ada yang mempersoalkan rasional di sebalik perjanjian ini di media sosial.
“‘Man United turut membayar sebahagian gaji’. Mereka memang nak sangat dia pergi,” kata salah seorang peminat.
“Mengurangkan skuad kita dan tiada tandatangan untuk pengganti,” ujar seorang lagi.
“Harapnya kita akan dapat pengganti sebab saya tak faham kenapa kita buat perjanjian macam ni. Tiada pilihan untuk beli dan sebahagian gajinya masih ditanggung sementara dia main untuk pasukan lain,” luah seorang peminat.
“Perjanjian pinjaman tanpa pilihan untuk beli ni memang tak berguna,” komen peminat yang lain.
BACA: Manchester United Cipta Empat Rekod Serentak
Antara lain, terdapat peminat yang mengharapkan pemain tersebut dapat kembali mencapai prestasi apabila bermain di pasukan Sepanyol itu.
Setakat hari ini, Antony hanya berjaya menjaringkan 12 gol dan lima bantuan gol kepada rakan sepasukan sepanjang 95 perlawanan bersama Manchester United.
Untuk pengetahuan, keputusan bagi meminjamkan Antony selaras dengan usaha pengurus pasukan, Ruben Amorim dalam merombak semula skuad tersebut.
Selain pemain sayap itu, beberapa orang pemain lain turut dikaitkan dengan perpindahan keluar. Antaranya pemain penyerang, Marcus Rashford yang menarik perhatian kelab AC Milan dan Napoli. Begitu juga pemain pertahanan, Tyrell Malacia yang terpalit khabar angin perpindahan Januari ini.
Kemunculan Malacia dalam perlawanan bersama skuad Manchester United pada November lalu merupakan kemunculan pertamanya selepas menjalani dua pembedahan berikutan kecederaan yang dialami.
BACA: Pemain Man United Takut Nak ‘Fight’ Liverpool – Amorim
Sumber: Fabrizio Romano, The Sun, Manchester Evening News