Amorim Mengamuk, Pecahkan TV
Manchester United terus menyajikan berita sensasi buat para peminat Liga Perdana Inggeris (EPL), kali ini melibatkan pengurusnya pula.
Ruben Amorim yang tiba dari Sporting Lisbon untuk menggantikan Erik Ten Hag dilapor tidak dapat menahan amarahnya dan mengamuk selepas tewas kepada Brighton dalam aksi liga di laman sendiri, 19 Januari lepas.
Menurut The Athletic, amukan pengurus berbangsa Portugis itu menyebabkan skrin besar dalam bilik persalinan pemain tuan rumah itu pecah.
Sumber terdekat dengan kelab berkenaan memberitahu, TV yang diguna untuk membincangkan taktik perlawanan itu perlu dibaiki sebelum boleh digunakan untuk aksi seterusnya.
Insiden berkenaan mengejutkan ramai pihak namun tidak menghairankan jika mengambil kira prestasi semasa The Red Devils yang terumbang ambing.
Amorim dilapor mengamuk, pecahkan tv dalam bilik persalinan United
Apa tidaknya, MU mempamerkan situasi luar biasa ketika bertandang ke gelanggang keramat seteru abadi, Liverpool dalam perlawanan pertama EPL tahun ini.
Malah, mereka hampir mencipta kejutan untuk mencatatkan kemenangan ke atas pendahulu liga sebelum terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.
Selepas itu, anak buah Amorim menunjukkan kualiti permainan sebenar yang mereka miliki apabila mudah menundukkan Southamptom, 3-1 di halaman lawan.
Namun dalam aksi menentang Brighton, MU kembali menampilkan aksi tidak memuaskan dengan kesilapan amatur dibuat oleh Andre Onana menghadiahkan kekalahan ketujuh daripada 15 perlawanan diuruskan Amorim.
BACA: Mokhzani, Mirzan Telah Isytihar Harta Berjumlah Lebih RM1 Bilion Kepada SPRM – Azam Baki
Menurut The Athletic lagi, Amorim sebelum ini pernah memberitahu bahawa beliau cuba ‘mengejutkan’ para pemain dan pengurusan tertinggi di MU dengan kata-katanya.
Misalnya beberapa hari lepas, beliau membuat kenyataan bahawa pasukan yang dibimbingnya saat ini mungkin adalah skuad MU terburuk yang pernah ada dalam sejarah kelab.
Bagaimanapun, inisiatif berkenaan seolah-olah tidak begitu menjadi kerana kelab tersebut berterusan mencatatkan keputusan negatif sejak kebelakangan ini.
Justeru, respon fizikal yang diambilnya dalam kejadian terbaru ini telah mengingatkan para peminat MU dengan pendekatan yang pernah diambil oleh pengurus legenda mereka, Sir Alex Ferguson.
Sir Alex dikatakan pernah membaling pengering rambut apabila beliau tidak berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak-anak buahnya.
Difahamkan, beliau turut melakukan perbincangan bersama pemilik saham minoriti kelab, Sir Jim Ratcliffe kira-kira 20 minit, tiga hari sebelum bertemu Brightonn.
Sir Jim Ratcliffe dikatakan bersedia untuk menyokong Amorim dengan menjadi lebih aktif dalam jendela perpindahan untuk mendapatkan pemain yang sesuai dengan falsafah pengurus berusia 39 tahun itu.
BACA: Kedai KK Mart Cawangan UM Didakwa Disimbah Cat Merah
Sumber: The Athleteic