Lelaki Jadi Penderma Darah 477 Kali, Sejak 1988
Menderma darah merupakan satu amalan mulia yang membawa pelbagai manfaat, terutamanya kepada penerima yang memerlukan.
Bekalan darah yang diderma biasanya digunakan untuk menyelamatkan nyawa, biasanya pesakit yang kehilangan banyak darah seperti ketika menjalani pembedahan atau terlibat kemalangan.
Dalam dunia perubatan moden, amalan ini dijadikan salah satu bentuk sumbangan sosial yang paling bermakna, selain menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Lelaki derma darah sejak tahun 1988
Baru-baru ini, seorang lelaki telah meraih perhatian ramai apabila telah menderma darah ratusan kali sejak dari tahun 1988.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @dermadarahkelantan di TikTok, Encik Zulkarnain sebelum ini menjadi penderma aferesis tetap di Pusat Darah Negara.
Apabila beliau menetap di Kelantan, beliau masih meneruskan amalan menderma darah itu sebagai bakti kepada masyarakat.
@dermadarahkelantan berkata, secara keseluruhan Encik Zulkarnain sudah menderma darah sebanyak 477 kali setakat ini.
“Tahniah dan terima kasih kepada Encik Zulkarnain. Sudah 37 tahun beliau menderma darah dan tidak terkira jumlah pesakit yang beliau telah bantu,” ujar @dermadarahkelantan.
@dermadarahkelantan Tahniah & terima kasih kepada En Zulkarnain. Dah 37 tahun beliau menderma darah. Tak terkira jumlah pesakit yang beliau telah bantu. #dermadarah #jomdermadarah #dermadarahkelantan #blooddonor #donateblood #terimakasihorangbaik
Kriteria pendermaan darah
Menurut portal Pusat Darah Negara, individu perlu memenuhi kriteria yang telah digariskan untuk menderma darah.
Kriteria penderma darah yang utama perlu memiliki tubuh badan yang sihat dan berumur 17 hingga 70 tahun.
- Penderma baru: 17-60 tahun
- Penderma tetap: 17-70 tahun
Bagi individu berumur 61-70 tahun, mereka memerlukan saringan kesihatan tahunan. Manakala bagi individu berumur 17 tahun, mereka harus mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga.
Selain itu, penderma darah perlu memiliki berat badan 45kg ke atas dan tidur sekurang-kurangnya 5 jam sebelum menderma.
Menurut PDN lagi, individu yang ingin menderma darah tidak boleh mempunyai masalah kesihatan atau mengambil ubat-ubatan.
Lebih penting lagi, penderma darah perlu makan dalam masa empat jam sebelum menderma, malah tidak pernah terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi (untuk mendapat jangkitan) seperti bertukar pasangan seksual, homoseksual dan biseksual.
Turut tidak digalakkan individu yang mempunyai hubungan seksual dengan pekerja seksual komersial, berkongsi jarum atau anda merupakan pasangan kepada mereka yang melakukan mana-mana aktiviti berisiko.
Jika individu pernah menderma darah, rekod kali terakhir perlu sekurang-kurangnya 3 bulan lepas. Manakala kriteria penderma darah bagi wanita, penderma darah tidak mengandung, sedang menyusukan anak atau mengalami pendarahan haid.
BACA: Bintang Siri Realiti Bling Empire, Lynn Ban Meninggal Dunia
Sumber: @dermadarahkelantan via TikTok