Pengeluar cip yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Nvidia dilapor mengalami kejatuhan nilai pasaran hampir $600 bilion, lapor CNN Business.
Kejatuhan tersebut berlaku selepas kemunculan syarikat kecerdasan buatan (AI) China, DeepSeek yang mengejutkan banyak pihak.
DeepSeek adalah syarikat pemula yang baru berusia setahun dan bertanggungjawab memperkenalkan model bahasa AI mirip seperti ChatGPT, yang dikenali sebagai R1, pada hujung Disember lepas.
Pengenalan model bahasa AI itu mencetuskan kejutan terbesar dalam pasaran saham, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi seperti AI.
Nilai pasaran Nvidia jatuh hampir USD600 bilion selepas pengenalan DeepSeek
NASDAQ, bursa saham Amerika Syarikat yang didominasi sektor teknologi merosot sebanyak 3.1 peratus, manakala S&P 500 pula menyusut sebanyak 1.5 peratus.
Amerika Syarikat selama ini diketahui telah bertahun-tahun berusaha menyekat China daripada mengakses bekalan cip AI berkuasa tinggi atas alasan keselamatan negara.
Ini bermakna, DeepSeek berjaya mencapai kejayaan menakjubkan itu dengan hanya bergantung kepada cip-cip AI yang lebih rendah kemampuannya.
Susulan itu, Nvidia yang merupakan syarikat pembekal cip berkuasa tinggi terkemuka dunia menjadi pihak yang paling terjejas dengan pelancaran R1 oleh DeepSeek.
Nilai pasaran Nvidia jatuh sebanyak 17 peratus atau hampir $588.8 bilion pada Isnin. Ia merupakan rekod kejatuhan tertinggi sehari yang pernah direkodkan setakat ini.
Difahamkan, Nvidia memulakan dagangan pada hari tersebut dengan nilai pasaran lebih $3.4 trilion dolar, namun mengakhiri hari dibelakang Apple dan Microsoft.
DeepSeek setanding dengan model bahasa AI yang lain
Menurut CNN Business, R1 memiliki kebolehan setanding seperti model bahasa AI yang lain. Bagaimanapun, kos pembangunannya jauh lebih kecil berbanding apa yang dibelanjakan oleh OpenAI, Google dan Meta.
DeepSeek berkata, mereka hanya membelanjakan kira-kira $5.6 juta untuk kuasa pengkomputeran bagi model asasnya.
Sebagai perbandingan, syarikat-syarikat AI yang berpangkalan di Amerika Syarikat melabur ratusan juta bahkan mencecah bilion dolar untuk tujuan yang sama.
Malah pada minggu lepas, Meta baru sahaja mengumumkan pelannya untuk melabur sehingga $65 bilion tahun ini untuk mengembangkan AI.
Manakala Ketua Pengarah Eksekutif OpenAI, Sam Altman berkata industri AI memerlukan pelaburan bernilai trilion dolar untuk menyokong pembangunan cip berteknologi tinggi yang diperlukan.
Sumber: CNN Business