Lebih 12 Pegawai Terlibat Siasatan Jenayah Trump Dipecat
Lebih daripada 12 pegawai yang terlibat dalam siasatan jenayah ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, telah dipecat baru-baru ini.
Menurut sumber yang dekat dengan perkembangan tersebut, pemecatan itu diumumkan melalui surat rasmi daripada pemangku Peguam Negara, James McHenry.
Surat berkenaan menyatakan bahawa pegawai terbabit “tidak boleh dipercayai” untuk melaksanakan agenda pentadbiran Trump.
Langkah drastik ini diambil selepas pentadbiran Trump mempergiatkan usaha menyiasat pendakwa raya yang mengetuai kes jenayah berkaitan insiden rusuhan Capitol pada 6 Januari, susulan janji Trump untuk membalas dendam sebagai sebahagian daripada kempen beliau.
Pemangku Peguam AS di Washington, Ed Martin, telah membuka siasatan terhadap pendakwa yang menggunakan Akta 1512(c) untuk mendakwa perusuh Capitol.
Bagaimanapun, penggunaan akta tersebut ditolak oleh Mahkamah Agung pada musim panas lalu.
Dalam memo yang dikeluarkan pada Isnin, Martin mengarahkan semua pendakwa terlibat menyerahkan dokumen, fail, nota, emel serta maklumat berkaitan kepada kepada dua pendakwa jabatan tersebut, yang perlu menyediakan laporan penuh menjelang Jumaat.
Memo tersebut turut menyatakan bahawa penggunaan Akta 1512 dianggap sebagai “kegagalan besar” oleh pejabat pendakwa dan keputusan Mahkamah Agung memerlukan siasatan lanjut.
Situasi ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pendakwa yang pernah mengendalikan kes rusuhan Capitol.
Beberapa individu kini dikatakan telah mendapatkan khidmat peguam untuk mempertahankan diri.
Seorang pegawai kanan yang rapat dengan siasatan tersebut menegaskan bahawa langkah itu bertujuan mengenal pasti kelemahan dalam keputusan pendakwaan terdahulu dan menyifatkannya sebagai satu “misi pencarian fakta”.
BACA: Trump Tidak Yakin Gencatan Senjata Gaza Kekal Lama
BACA: Trump Sahkan Bom 907.2 Kg ‘Dalam Perjalanan’ Ke Israel
BACA: Trump Cadang Pindahkan Penduduk Palestin Di Luar Gaza
Sumber: Astro Awani