Siakap Keli
tingkap hotel
Kredit: ImageFX

Ini Sebab Tingkap Sesetengah Hotel Tak Boleh Dibuka

Ini Sebab Tingkap Sesetengah Hotel Tak Boleh Dibuka

Menginap di hotel sama ada ketika melancong, atas urusan kerja mahupun sekadar ingin merasa kelainan menjadi keinginan setiap dari kita. Apatah lagi apabila melihat hotel-hotel yang berdiri megah dengan binaan yang memukau.

Disapa mesra bermula dari pintu masuk sehingga ke bilik, ditambah dengan sarapan pagi yang pelbagai, pasti menjadikan ia satu kenangan indah buat kita. Namun, bagi anda yang sudah terbiasa dengan udara segar mengalir dari tingkap pasti rasa sedikit janggal apabila tingkap bilik tidak boleh dibuka.

Walaupun tidak semua hotel di Malaysia mengunci tingkap bilik, namun boleh dikatakan kebanyakan hotel kini tidak membenarkan pelanggan membuka tingkap bilik.

Tahukah anda, tindakan pihak hotel mengunci tingkap bilik berdasarkan kepada beberapa siri sejarah hitam yang berlaku? Kali ini, SK ingin kongsikan sebab di sebalik mengapa tingkap hotel tidak boleh dibuka.

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan hotel mempunyai sebab utama yang serupa iaitu mengurangkan liabiliti. Perkara ini berdasarkan beberapa kejadian yang pernah berlaku.

Salah satu sebab utama ialah bagi menghalang pelanggan daripada cubaan bunuh diri dengan melompat keluar dari tingkap. Malah, keadaan ini juga melibatkan pembuangan barangan atau perabot.

Selain itu, pihak hotel juga ingin mengelakkan pelanggan terjatuh dari tingkap yang terbuka. Sama ada disebabkan keadaan mabuk bagi golongan dewasa atau juga kanak-kanak yang tidak diawasi oleh ibu bapa.

Beberapa kejadian terdahulu turut menunjukkan tingkap hotel yang terbuka mendatangkan bahaya kepada mereka yang berada di sekitar hotel.

Pada 2015, seorang lelaki menyaman sebuah hotel di Los Angeles apabila mengalami cedera parah disebabkan seorang wanita yang jatuh dari tingkat 11 menimpanya. Berdasarkan hujah peguamnya, tingkap tersebut tidak sepatutnya boleh dibuka kerana terletak di atas kawasan pejalan kaki.

Kes ini bukan yang pertama kali berlaku. Pada 1945, sebuah hotel di San Francisco juga disaman apabila sebuah kerusi jatuh daripada tingkap dan menimpa seorang lelaki.

Tetapi, jika tingkap bilik di tingkat atas dikunci supaya mengelakkan perkara-perkara ini berlaku, mengapa tingkap bilik di tingkat bawah juga dikunci?

Sebenarnya, tindakan ini lebih kepada melindungi pelanggan yang berada di dalam bilik hotel. Kadang-kala, pelancong mungkin terlupa untuk mengunci semula tingkap ketika keluar jadi keadaan ini memberi peluang kepada perompak untuk masuk.

Adakah isu keselamatan merupakan satu-satunya sebab tingkap bilik tidak boleh dibuka?

Tentulah tidak.

Terdapat satu lagi isu yang rata-rata cuba untuk dielakkan oleh pihak hotel. Ia berkaitan penjimatan tenaga elektrik apabila pengoperasian hotel mula menggunakan penyaman udara apabila udara segar tidak lagi boleh didapati kerana tingkap bilik sentiasa tertutup.

Biarpun ada antara kita yang faham tentang aliran udara sejuk dalam ruang tertutup, namun masih ramai yang tidak mengambil berat tentang isu penjimatan tenaga ketika berada di hotel kerana bil elektrik tidak dikenakan kepada pelanggan.

Jadi bagi mengelakkan pengurusan hotel mengalami kerugian ini, langkah proaktif adalah dengan mengunci tingkap bilik supaya tidak boleh dibuka oleh pelanggan.

BACA: Mungkin Ramai Tak Tahu, Ini Sebab Tingkap Pesawat Berbentuk Bujur

Sumber: Mental Floss

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.