Siakap Keli
resipi sup telur
Kredit: Nora Azni

Mudah Nak Buat, Ini Resipi Sup Telur Sedap

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Mudah Nak Buat, Ini Resipi Sup Telur Sedap

Sekolah bakal kembali dibuka, pasti para ibu juga kembali runsing memikirkan menu yang mudah disediakan namun penuh khasiat buat anak-anak. Sudah semestinya, anak-anak yang sedang membesar memerlukan hidangan lengkap dengan pelbagai zat dan nutrisi.

Tidak dapat dinafikan, antara semua makanan, telur merupakan antara bahan yang membekalkan protein serta pelbagai vitamin selain mudah dimasak. Walaupun masakan ringkas seperti telur goreng sudah cukup menyelerakan, kadang-kala bosan juga jika asyik menghadap hidangan yang sama.

Apa kata kali ini kita cuba resipi lain dari yang lain, hasil perkongsian salah seorang ahli kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ni, Nora Azni. Sup telur ringkas, kegemaran seisi keluarga.

Untuk membuat masakan mudah ini, anda perlukan beberapa bahan dan ramuan yang mudah ditemui di mana-mana kedai runcit. Sediakan empat biji telur ayam, tujuh biji bebola ikan yang telah dibelah dua dan setengah biji lobak merah.

Sebagai perasa dan bahan tumis, sediakan tiga ulas bawang putih yang dicincang, separuh kiub pati ayam, sedikit lada sulah dan garam. Anda juga perlukan dua gelas air putih dan minyak masak.

“Kalau guna banyak telur lebih kan air untuk kuah,” tambah Nora.

Mulakan memasak dengan menumis bawang putih sehingga bawang menjadi keperangan dan sedikit garing. Setelah itu, masukkan pula lobak merah dan tambahkan dua gelas air putih. Perasakan sup dengan pati ayam, garam dan sedikit lada sulah. Biarkan kuah mendidih.

Kredit: Nora Azni

Apabila kuah mendidih, perlahankan api untuk masak telur. Pecahkan telur dalam mangkuk kecil kemudian tuang ke dalam periuk. Buat sebiji demi sebiji hingga semua telur dimasukkan ke dalam sup.

“Biar je sekejap sampai telur masak, jangan sibuk nak kacau ye,” pesan Nora.

Selepas beberapa minit, periksa semula sup telur anda. Pastikan telur masak elok dan nampak bentuk seketul-seketul bak kata wanita berkenaan sebelum masukkan bebola ikan. Setelah bebola ikan masak, tutup api dan sup sudah boleh dihidangkan bersama taburan bawang goreng dan daun sup.

Selamat menjamu selera bersama seisi keluarga.

BACA: Resipi Donat Buah Naga, Warna Asli Memikat Selera

Sumber: Nora Azni via Masak Apa Hari Ini

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.