Majlis Pra-Peluncuran Dua Dekad Maritim Malaysia
PUTRAJAYA, 4 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengadakan Majlis Pra-Peluncuran Dua Dekad Maritim Malaysia dengan tema ‘Dua Dekad Maritim Malaysia, Perisai Samudera Negara’.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi dan warganya di perkarangan Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, turut dilancarkan logo rasmi sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia beserta lagu rasmi sambutan bertajuk ‘Terpuji’ yang disempurnakan oleh Datuk Haji Mohd. Rosli.
Majlis turut disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Tuan Nor Hisham bin Ibrahim, Pengarah Pembangunan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zulinda binti Haji Ramly, Pengarah Sumber Manusia Maritim Malaysia, Tuan Haji Ghazali bin Hizam dan Pengarah Komunikasi Korporat Maritim Malaysia, Puan Salawati binti Yahaya.
Sebagai gimik pelancaran sambutan, semua hadirin telah meluncurkan Seahawk Origami sebagai simbolik kepada ‘Helang Samudera’ yang mengambarkan imej Agensi ini, sebagai penjaga keselamatan dan keamanan perairan negara.
Maritim Malaysia bakal menyambut hari ulang tahunnya yang ke-20 pada 15 Februari nanti, dan sambutan pada tahun ini akan diadakan di Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang.