“Saya pemain bola sepak paling lengkap dalam sejarah” – Ronaldo
Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo percaya bahawa dirinya merupakan pemain bola sepak paling lengkap sepanjang masa, petik ESPN.
Pemenang lima kali Ballon d’Or yang kini bermain bersama kelab liga Arab Saudi, Al Nassr telah memecahkan banyak rekod sepanjang kariernya dan merupakan penjaring gol terbanyak dalam sejarah bola sepak lelaki dengan 923 gol setakat ini.

“Siapa penjaring gol terbaik dalam sejarah? Ia bergantung pada angka, noktah,”
“Siapa pemain yang telah menjaringkan paling banyak gol dengan kepala, kaki kiri, sepakan penalti, sepakan percuma? Saya melihat statistik baru-baru ini, dan walaupun saya bukan pemain kaki kiri, saya berada dalam 10 penjaring terbaik dengan kaki kiri dalam sejarah.
“Begitu juga dengan tandukan, kaki kanan, dan penalti,” kata Ronaldo dalam satu wawancara bersama program televisyen Sepanyol El Chiringuito.
Ditanya mengenai perbandingan antara dirinya dan bintang Argentina Lionel Messi, Ronaldo berkata dia menghormati peminat untuk meminati pemain itu termasuk Pelé, atau Diego Maradona.
Bagaimanapun, Ronaldo memberitahu bahawa statistik membuktikan siapa yang terhebat.
“Saya bercakap mengenai angka. Saya rasa saya pemain paling lengkap dalam sejarah.

“Saya boleh lakukan segalanya dalam bola sepak sama ada tandukan, sepakan percuma ataupun dengan kaki kiri. Saya pantas dan saya kuat.
“Satu perkara lagi, jika anda lebih suka Messi, Pelé, Maradona, saya faham dan hormati itu. Tetapi jika anda mengatakan Ronaldo bukan pemain lengkap…
“Saya adalah yang paling lengkap. Saya belum melihat sesiapa yang lebih baik daripada saya,” ujarnya.
Sepanjang karier bola sepak, Ronaldo pernah bermain di kelab Sporting CP (Portugal), Manchester United (England), Real Madrid (Sepanyol), Juventus (Itali) dan terkini Al-Nassr (Arab Saudi).
Untuk makluman, Ronaldo menyambut kelahirannya yang ke-40 pada hari ini, 5 Februari.
Sumber: ESPN