Siakap Keli
kwsp sebanyak 2%
Sumber : BERNAMA

MTUC Sokong Pengekalan Kadar Caruman Mandatori KWSP Sebanyak 2% Bagi Pekerja Asing

MTUC Sokong Pengekalan Kadar Caruman Mandatori KWSP Sebanyak 2% Bagi Pekerja Asing

Kuala Lumpur, 7 Februari 2025 – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2% bagi pekerja asing  sehingga kajian lanjut dijalankan.

Keputusan ini adalah langkah awal ke arah memastikan hak pekerja asing terus terpelihara selaras dengan Konvensyen ILO C118 serta Artikel 68 Konvensyen 102 International Labor Organization (ILO), yang menetapkan prinsip hak sama rata perlindungan sosial kepada semua individu, termasuk bukan warganegara. 

Namun, MTUC berpandangan bahawa kadar 2% ini terlalu rendah dan mungkin tidak  berbaloi dari segi kutipan, pentadbiran, dan pelaburan jangka panjang. Ia bukan satu penyelesaian yang menyeluruh, tetapi satu permulaan yang baik ke arah kadar caruman yang lebih saksama untuk semua pekerja, sama ada tempatan atau asing. 

MTUC menegaskan bahawa tumpuan utama kerajaan haruslah memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja tempatan terus diperkukuhkan. Sebarang keputusan berkaitan kadar caruman KWSP tidak boleh menjejaskan faedah persaraan  pekerja tempatan, yang merupakan tunjang tenaga kerja negara. 

MTUC juga mengambil maklum kenyataan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang menyatakan bahawa kadar caruman 2% ini adalah satu kompromi bagi  memastikan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan perniagaan.  MTUC menegaskan bahawa majikan harus mengambil pendekatan yang lebih holistik  dan tidak mengamalkan diskriminasi antara pekerja tempatan dan asing. 

MTUC berpandangan bahawa kadar caruman KWSP yang lebih rendah akan  membolehkan majikan terus bergantung kepada tenaga kerja asing berbanding  melabur dalam peningkatan produktiviti dan automasi. Ini bertentangan dengan  objektif negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan  meningkatkan daya saing industri dalam jangka panjang. 

Sebaliknya, MTUC menggesa kerajaan untuk memperkukuh proses pemutihan  majikan, di mana semua pekerja asing diwajibkan berdaftar dengan KWSP melalui  majikan mereka. Ini akan membolehkan kerajaan mengenal pasti jumlah sebenar  pekerja asing yang sah, memastikan semua pekerja mendapat perlindungan sosial  minimum, dan mengelakkan eksploitasi serta manipulasi oleh majikan yang tidak  bertanggungjawab. 

MTUC juga menegaskan bahawa perlindungan pekerja tempatan harus menjadi  keutamaan utama kerajaan dalam membuat keputusan berkaitan dasar tenaga kerja. Dalam jangka panjang, kadar caruman KWSP bagi pekerja asing perlu dikaji semula supaya selaras dengan kadar pekerja tempatan bagi mengelakkan jurang dalam  perlindungan sosial dan memastikan kesaksamaan di tempat kerja. 

Sebagai kesatuan yang memperjuangkan hak pekerja, MTUC akan terus bekerjasama  dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap dasar yang  diperkenalkan mengutamakan kebajikan pekerja tempatan sambil mengekalkan  keadilan kepada pekerja asing yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi  negara. 

Fokus utama kerajaan haruslah kepada memperkasakan hak dan faedah pekerja  tempatan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang perubahan terhadap  dasar pekerja asing. Jaminan keselamatan sosial dan peluang pekerjaan bagi pekerja  tempatan perlu diutamakan dalam sebarang keputusan berkaitan tenaga kerja negara. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.