Siakap Keli
siasatan duti anti-lambakan

Pemulaan Siasatan Duti Anti-lambakan Dijalankan Ke Atas Import Produk Gulungan Rata Besi Aloi

Pemulaan Siasatan Duti Anti-lambakan Ke Atas Import Produk Gulungan Rata Besi Aloi

Pada 7 Januari 2025, Kerajaan Malaysia (Kerajaan) telah menerima petisyen daripada  pengeluar tempatan, CSC Steel Sdn. Bhd. (Pempetisyen), yang memohon supaya siasatan duti  anti-lambakan dijalankan ke atas import produk gulungan rata besi aloi atau keluli bukan aloi, disadur atau disalut zink, menggunakan proses celupan panas (gegelung/kepingan besi bergalvani atau gegelung/kepingan keluli bergalvani) (“dagangan subjek”) yang berasal atau dieksport dari Republik Rakyat China, Republik Korea dan Republik Sosialis Viet Nam. 

Pempetisyen mendakwa bahawa import dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari  negara-negara tersebut telah dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan  domestik di pasaran negara-negara tersebut (harga lambakan). 

Pempetisyen seterusnya mendakwa bahawa lambakan import dari negara-negara tersebut  telah meningkat dari segi kuantiti mutlak dan telah menyebabkan kemudaratan material  kepada Pempetisyen. Kerajaan telah menilai dan mempertimbangkan maklumat dan bukti  lambakan, kecederaan dan kesan hubungkait yang dinyatakan dalam Petisyen dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan duti anti-lambakan ke atas import dagangan  subjek yang berasal atau dieksport dari negara yang didakwa berdasarkan seksyen 20 Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta) serta peraturan 7 Peraturan-Peraturan Duti Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan). 

Selaras dengan Akta dan Peraturan, penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari  tarikh pemulaan siasatan. Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, Kerajaan akan  mengenakan duti anti-lambakan sementara pada kadar yang diperlukan untuk mengelakkan kecederaan kepada industri tempatan berlanjutan. 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengedarkan satu set soal  selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeksport atau pengeluar asing subjek dagangan tersebut di negara yang didakwa, Kerajaan negara-negara tersebut serta persatuan-persatuan perniagaan berkaitan. 

Pihak berkepentingan lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam penyiasatan duti  anti-lambakan ini haruslah mendaftar sebagai pihak berkepentingan serta memohon untuk  mendapatkan soal selidik secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada 21 Februari 2025. Pihak berkepentingan boleh memberikan pandangan secara bertulis, jawapan soal  selidik dan bukti sokongan tambahan kepada MITI selewat-lewatnya pada 8 Mac 2025.  

Sekiranya bilangan pihak yang disiasat adalah besar dan tidak praktikal untuk mengesahkan maklumat fakta bagi setiap pihak tersebut, Kerajaan boleh membuat keputusan untuk mengesahkan ketepatan mana-mana maklumat yang dikemukakan semasa penyiasatan berdasarkan peruntukan seksyen 40 dalam Akta serta peraturan 38 dalam Peraturan.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.