41 Maut Selepas Bas, Lori Bertembung
Sekurang-kurangnya 41 orang dilaporkan maut dalam satu kemalangan tragik membabitkan sebuah bas dan lori di selatan Mexico pada awal pagi Sabtu.
Menurut pihak berkuasa Tabasco, bas tersebut membawa 48 penumpang.
Kenderaan itu sedang dalam perjalanan dari Cancun ke Tabasco sebelum bertembung dengan sebuah lori berhampiran bandar Escarcega.
Akibatnya, tragedi itu menyebabkan 38 penumpang bas, dua pemandu bas dan seorang pemandu lori terkorban.
Difahamkan, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan oleh pihak berkuasa di lokasi kejadian.
BACA: Dua Mayat Bayi Ditemui Dalam Bungkusan Pos
Imej kejadian menunjukkan bas terbabit terbakar sepenuhnya selepas perlanggaran berlaku, meninggalkan hanya rangka logam yang hangus.
Syarikat pengendali bas, Tours Acosta, dalam satu kenyataan di Facebook menyatakan rasa dukacita mendalam terhadap insiden itu.
Mereka turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat punca kemalangan.
Selain itu, mereka juga akan menyemak sama ada bas tersebut mematuhi had laju yang ditetapkan.
BACA: Pekerja Pembersihan Cedera Insiden Tembakan Di Pusat Beli-Belah Di Setia Alam
Gabenor Tabasco, Javier May Rodriguez, memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa persekutuan dan negeri Campeche untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa dan keluarga.
“Setiausaha kerajaan sedang memantau situasi ini dengan teliti,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Comalcalco, Ovidio Peralta, turut menyatakan kesediaan pihaknya untuk membantu pihak berkuasa bagi menangani kejadian tragik ini.
“Kami bersiap sedia untuk membantu pihak berkuasa persekutuan dan negeri dalam apa jua yang mereka perlukan,” katanya.
BACA: Gempa Bumi Landa Laut Caribbean
Sumber: Sky News