Kisah Legenda Di Sebalik Sambutan Chap Goh Mei
Setiap tahun, selepas meraikan Tahun Baru Cina, kaum Cina akan mengadakan satu lagi keraian besar-besaran bagi menandakan hari terakhir perayaan tersebut. Sambutan tersebut ialah Chap Goh Mei, yang bermaksud malam ke-15 dalam dialek Hokkein.
Pada hari berkenaan, kaum Cina akan mengadakan Pesta Tanglung yang turut dikenali sebagai Yuan Xiao Jie. Disebabkan itu, kita akan nampak banyak rumah-rumah dan jalan dihiasi dengan tanglung pelbagai warna pada hari tersebut. Hari ini juga disambut bagi meraikan bulan purnama pertama dalam kalendar lunar.
Untuk pengetahuan anda, pesta ini ada cara sambutan yang unik berbanding sambutan dan pesta lain.
Selain itu, jangan terkejut kerana bunga api mungkin akan kedengaran lebih meriah pada malam sambutan ini.
Ada beberapa kisah legenda yang popular berkaitan dengan sambutan ini, antaranya:
Suatu ketika dahulu ketika Dinasti Song (960-1279), pemilik tanglung akan menuliskan teka-teki dan dilekatkan pada tanglung mereka. Orang ramai akan berkumpul di tanglung-tanglung untuk meneka dan jika seseorang itu yakin dengan jawapannya, baru dibenarkan untuk melihat jawapan yang diselit pada tanglung tersebut.
Selain menjadi sambutan Pesta Tanglung, Chap Goh Mei juga merupakan hari kekasih buat kaum Cina. Ia telah disambut sejak berkurun lamanya. Para wanita yang masih belum berkahwin akan menulis nama pada buah mandarin sebelum dicampak ke dalam sungai pada hari Chap Goh Mei. Mereka percaya, dengan cara ini, mereka bakal mengahwini seorang lelaki budiman yang mengambil buah mandarin tersebut dan hubungi mereka.

Antara tradisi yang dilakukan ketika menyambut perayaan ini termasuk memakan tangyuan, iaitu sejenis hidangan bebola pulut manis.
Menurut legenda, tradisi ini juga mempunyai kisahnya yang tersendiri di samping sambutan Pesta Tanglung.
Pada zaman dahulu, ketika Dinasti Han iaitu antara 202 Sebelum Masihi hingga 220 Selepas Masihi, seorang penasihat maharaja bernama Dongfang Shuo terserempak dengan seorang dayang di Taman Diraja. Dongfang yang ingin memetik bunga plum untuk maharaja tidak menyangka dia bertemu Yuanxiao yang ingin terjun ke dalam perigi kerana terlalu sedih.
Dengan segera, Dongfang menghalang gadis tersebut dan cuba menghulurkan bantuan. Rupa-rupanya, gadis tersebut terlalu sedih kerana sudah terlalu lama tidak dapat bertemu dengan kedua orang tuanya sejak menjadi dayang istana. Disebabkan itu, dia merasakan seperti dirinya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak yang baik.
Bersimpati dengan kisah dayang itu, Dongfang tekad untuk cuba membantu. Dia berpura-pura menjadi tukang tilik di luar kawasan istana lalu menyebarkan khabar angin bahawa bandar Chang’an bakal dilanda musibah kebakaran besar pada 15 haribulan, bulan pertama lunar.
Khabar angin merebak dengan pantas dan penduduk bandar tersebut mula panik. Mereka meminta bantuan daripadanya untuk memastikan kebakaran tersebut tidak berlaku.
Menggunakan kebijaksanaannya, Dongfang memberitahu penduduk bahawa pada hari ke-13, pari-pari berbaju merah akan turun membawa perintah Dewa Api. Penduduk perlu memohon belas kasihan pari-pari tersebut.

Selepas itu, Dongfang menulis khabar tersebut seakan-akan dekri dan menyuruh Yuanxiao membawanya ke bandar sambil berpura-pura menjadi pari-pari.
Apabila khabar tersebut sampai ke pengetahuan maharaja, baginda menjadi gusar lalu meminta nasihat daripada Dongfang.
Umpama mengantuk disorongkan bantal, Dongfang berpura-pura memerah otaknya lalu memberi nasihat kepada maharaja. Dongfang mencadangkan supaya maharaja mengarahkan Yuanxiao, seorang dayang yang mahir membuat bebola pulut manis untuk sediakan hidangan tersebut supaya boleh diberi kepada Dewa Api. Dongfang turut mencadangkan supaya maharaja menitahkan rakyat seluruh bandar membuat bebola pulut manis.
Selain itu, Dongfang turut mencadangkan supaya setiap rumah menyalakan tanglung merah dan nyalakan mercun supaya bandar kelihatan seperti sedang terbakar.

Mendengar cadangan penasihatnya, maharaja segera mengeluarkan titah berkenaan. Pada hari ke-15, orang ramai mula membanjiri bandar sambil membawa tanglung. Yuanxiao menggunakan peluang ini bertemu kedua ibu bapanya.
Maharaja pula rasa sangat gembira apabila bandar tersebut tidak terkena bencana yang dikhabarkan. Lalu, baginda menitahkan seluruh rakyatnya membuat bebola pulut manis dan menggantung tanglung pada setiap hari ke-15 bulan pertama lunar setiap tahun.
Bukan itu sahaja, menurut legenda, disebabkan Yuanxiao amat mahir dalam membuat bebola pulut manis, orang ramai menamakan hidangan itu bersempena namanya. Sejak itu, Pesta Tanglung turut dipanggil sebagai Yuan Xiao Jie.
BACA: Ini Sebab Kenapa Bunyi Bunga Api Lagi Meriah Pada Malam Hari Ke-9
Sumber: Yahoo, Things Asian, CGTN