Siakap Keli
Thaipusam
Gambar AFP

Sambutan Thaipusam Versi Tiga Negara

Sambutan Thaipusam Versi Tiga Negara

Thaipusam merupakan perayaan rohani yang penting bagi penganut Hindu, khususnya dalam kalangan masyarakat Tamil.

Perayaan ini didedikasikan kepada Dewa Murugan, simbol kekuatan dan keadilan.

Selain itu, ia dipercayai adalah medan untuk pengabdian, penebusan dosa dan tanda kesyukuran.

Menariknya, sama seperti banyak sambutan perayaan lain, Thaipusam tidak hanya terhad kepada satu lokasi atau negara sahaja.

Ia turut disambut di pelbagai pelosok dunia, namun dengan cara yang berbeza-beza.

Budaya dan peraturan setempat memberikan warna ‘unik’ kepada sambutan ini, menjadikan setiap lokasi punya keistimewaannya yang tersendiri.

Berikut adalah bagaimana tiga negara di bawah menyambut perayaan ini dengan cara yang berbeza.

1. Malaysia

Malaysia menjadi antara negara yang menyaksikan sambutan Thaipusam paling besar selepas India.

Lokasi utama yang menjadi tumpuan ialah Batu Caves di Selangor, yang menerima kehadiran lebih sejuta penganut dan pelancong setiap tahun.

Selain itu, Kuil Bukit Air Terjun di Pulau Pinang dan Kuil Kullumalai di Ipoh turut meriah dengan perayaan ini.

Antara ritual penting adalah membawa kavadi, iaitu struktur kayu atau logam yang dihiasi secara ‘rumit’.

Sesetengah penganut juga melakukan penusukan tubuh sebagai tanda penebusan dosa.

Selain itu, mereka membawa paal kudam, tempayan berisi susu yang dipersembahkan di kuil.

Satu lagi tradisi menarik ialah perarakan kereta dewa yang membawa patung Tuhan Murugan dalam sebuah kereta perak.

2. India

Sebagai tempat asal perayaan Thaipusam, India, khususnya negeri Tamil Nadu, menyaksikan sambutan meriah di kuil-kuil utama seperti Kuil Palani Murugan dan Kuil Kartikeya di Kerala serta Karnataka.

Kuil Palani Murugan dianggap sebagai lokasi suci yang menarik ribuan penganut setiap tahun untuk doa dan perarakan kavadi.

Namun, berbeza dengan Malaysia, amalan penusukan tubuh tidak dibenarkan di India kerana kerajaan melarangnya.

Kepercayaan bahawa tubuh manusia adalah “kuil jiwa” menjadi asas larangan ini.

Dalam pada itu, apa yang mengejutkan adalah Thaipusam bukanlah hari cuti umum di India meskipun ia perayaan penting bagi masyarakat Hindu Tamil.

3. Singapura

Thaipusam di Singapura dikenali dengan pengurusan dan peraturan yang ketat.

Perayaan ini biasanya berlangsung di Kuil Sri Thendayuthapani dan Kuil Sri Srinivasa Perumal, dengan ribuan penganut berjalan kaki antara kedua-dua kuil di kawasan Little India.

Berbeza dengan Malaysia, Singapura menetapkan saiz kavadi yang dibenarkan dan melarang penggunaan alat muzik sepanjang laluan perarakan.

Seperti di India, penusukan tubuh dan amalan fizikal yang ekstrem turut dikawal ketat.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penganut mula menghias kavadi mereka dengan lampu LED berwarna-warni.

Ini menjadikan suasana perayaan lebih memukau, terutama pada waktu malam yang dihiasi sinaran lampu LED.

BACA: Kenali Sharabutdin Magomedov, “Pertarung Bermata Satu”

BACA: Kenapa “Mileage” Kereta Baru Bukan Kosong? Ini Sebabnya

BACA: Rancangan Ronaldo Selepas Bersara Sebagai Pemain Bola Sepak

Sumber: The Planet, History, Honey Kids Asia, South China Morning Post, Astro, Britannica

Siti Nur Ain Natasya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.