Dipercayai Alami Kemurungan, Guru Tikam Murid 8 Tahun Di Sekolah
Seorang guru dilapor menikam seorang murid perempuan berusia lapan tahun hingga maut di sebuah sekolah rendah di Korea Selatan, pada Isnin.
Menurut AFP, seorang guru wanita berusia 40-an telah mengaku melakukan jenayah itu selepas pihak berkuasa menemukan dia dan kanak-kanak terbabit dalam keadaan berlumuran darah.
Mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun kemudian disahkan meninggal dunia. Manakala, suspek mengalami luka tikaman di leher dan lengan.
Dalam pada itu, agensi berita Yonhap melaporkan pegawai bertugas memaklumkan bahawa kecederaan yang dialami suspek dipercayai akibat oleh perlakuannya sendiri.
Suspek pernah mengambil cuti sakit kerana kemurungan
“Polis mendapati guru itu pernah mengambil cuti sakit kerana kemurungan dan kembali bertugas di sekolah itu pada akhir tahun lalu,” kata laporan tersebut.
Difahamkan, mangsa berada di sekolah untuk program penjagaan selepas waktu persekolahan sebelum dijadualkan menghadiri kelas seni di sebuah institusi swasta.
Guru dan murid perempuan terbabit dijumpai oleh pihak berkuasa kira-kira jam 6 petang (waktu tempatan) selepas ibu bapa kanak-kanak itu melaporkan kehilangannya kerana tidak hadir ke kelas seni.
Agensi berita Yonhap berkata, suspek telah menjalani pembedahan untuk merawat kecederaannya, manakala polis memberitahu bahawa mereka akan meneruskan siasatan selepas keadaannya menjadi stabil.
Kejadian jenayah ganas berprofil tinggi berlaku pada 2023
Menurut statistik rasmi, Korea Selatan secara umumnya sebuah negara yang sangat selamat, dengan kadar kes bunuh sebanyak 1.3 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2021.
Ianya lebih rendah daripada purata global iaitu enam kematian akibat pembunuhan bagi setiap 100,000 orang.
Bagaimanapun, negara itu menyaksikan beberapa kejadian jenayah ganas berprofil tinggi pada 2023, termasuk beberapa insiden tikaman.
Pada Ogos tahun itu, seorang guru sekolah menengah dilaporkan diserang dengan pisau di Daejeon, kira-kira 140 kilometer di selatan ibu kota Seoul.
Pada minggu yang sama, seorang penyerang memandu kereta ke laluan pejalan kaki di bandar Bundang, berhampiran Seoul sebelum menyerang orang ramai di sebuah pusat membeli-belah dengan pisau.
Sementara itu, seorang individu terbunuh dan tiga lagi cedera dalam satu lagi insiden tikaman di Seoul pada Julai 2023.
BACA: Dah Lama Sangat Tak Bersenam, Ini 7 Penyakit Boleh Sangkut Kalau Teruskan Amalan Ni
Sumber: AFP