AirAsia dinobatkan Sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia 2025 Oleh AirlineRatings.com
SEPANG, 13 Februari 2025 – AirAsia telah diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun 2025 oleh AirlineRatings.com (World’s Best Airlines 2025), sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam menawarkan perjalanan udara bernilai tinggi yang terus meningkatkan standard industri.
Menurut AirlineRatings.com, penilaian menyeluruh dibuat berdasarkan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kepada penumpang di seluruh rangkaian dan armada syarikat penerbangan. Bagi senarai 20 syarikat penerbangan tambang rendah terbaik 2025, syarikat penerbangan yang mendapat kedudukan tertinggi menawarkan tambang asas yang sangat rendah, mempunyai rangkaian laluan yang kukuh, serta menyediakan pelbagai perkhidmatan berbayar seperti makanan, minuman dan snek pada harga mampu milik.
Syarikat penerbangan ini juga mesti memenuhi piawaian keselamatan yang ketat, termasuk memperoleh penarafan keselamatan tujuh bintang.
Sejak penubuhannya pada tahun 2001 dengan hanya dua pesawat yang mengendalikan laluan domestik di Malaysia, AirAsia telah merevolusikan industri penerbangan tambang rendah, membawa lebih 800 juta penumpang dan menghubungkan lebih 130 destinasi melalui pelbagai hab di lima pasaran operasi utamanya, termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil dedikasi semua warga AirAsia (Allstars), usaha tanpa henti syarikat dalam inovasi dan kecemerlangan, serta sokongan berterusan daripada pelanggan selama ini.
“Pengiktirafan berterusan sebagai antara syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia oleh AirlineRatings.com sejak 2018 membuktikan bahawa kami berjaya dalam aspek keselamatan, nilai, kepuasan pelanggan, dan kebolehpercayaan.
Memulakan tahun 2025 dengan pengiktirafan ini, berserta penarafan keselamatan 7/7 terbaru kami, semakin mengukuhkan komitmen kami untuk terus berkembang, memperbaiki perkhidmatan, dan memberikan pengalaman terbaik kepada para pelanggan. Kami berterima kasih kepada pasukan AirlineRatings atas pendekatan menyeluruh mereka dalam mengiktiraf syarikat penerbangan yang benar-benar cemerlang
Sebagai sebuah kumpulan, kami telah mencapai kemajuan besar di rantau ini dengan kekal tangkas dan terus berinovasi dalam meningkatkan perkhidmatan dan hubungan penerbangan, sambil menangani cabaran permintaan tinggi dan kekangan bekalan industri. Dari daftar masuk mudah melalui telefon bimbit dan kemas kini masa nyata hingga personalisasi berasaskan AI dan pilihan pemulihan perkhidmatan yang dipertingkatkan, semua usaha kami bertujuan untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang paling boleh dipercayai dan bernilai tinggi.
“Melangkah ke hadapan, fokus kami adalah pada pengembangan armada, meningkatkan hubungan penerbangan ke destinasi popular dan bandar sekunder baharu, penambahbaikan digital, serta penyatuan syarikat penerbangan bagi memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat. Dengan kemampuan, inovasi, dan kelestarian sebagai teras strategi kami, kami komited untuk terus membina kepercayaan dengan semua pihak berkepentingan—termasuk pelanggan, pekerja, dan rakan kongsi—dalam merealisasikan visi kami untuk menjadi rangkaian penerbangan tambang rendah global pertama di dunia.”
Sharon Petersen, Ketua Pegawai Eksekutif Airline Ratings Pty Ltd, berkata: “Jika anugerah World’s Safest Airlines memberi tumpuan kepada keselamatan, anugerah World’s Best Airlines pula menilai keselesaan penumpang, maklum balas pelanggan, dan konsistensi produk di seluruh rangkaian laluan syarikat penerbangan. Penghargaan ini bukan sekadar pertandingan populariti, sebaliknya setiap syarikat penerbangan dinilai dengan teliti berdasarkan apa yang ditawarkannya kepada penumpang di seluruh armada dan rangkaiannya.
“Operasi AirAsia menyerlah kerana rangkaian penerbangannya yang luas, menghubungkan Asia Tenggara dengan dunia pada tambang berpatutan. Selain itu, hidangan panas AirAsia diiktiraf sebagai antara yang paling enak dalam kalangan syarikat penerbangan tambang rendah dan menawarkan nilai hebat, terutamanya jika dibeli lebih awal semasa tempahan.
Pada tahun 2024, AirAsia Aviation Group telah membawa lebih 63 juta penumpang dengan faktor muatan kukuh sebanyak 89%, menunjukkan permintaan berterusan yang tinggi. Pengembangan armada memainkan peranan penting, dengan peningkatan jumlah pesawat aktif kepada 205 daripada 224, termasuk pengaktifan semula 14 pesawat serta penambahan 10 pesawat baharu, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong pertumbuhan rangkaian penerbangan.