Siakap Keli
dodo koko

Dodo Koko, Kafe Animasi Jepun Terbesar Di Asia Tenggara Kini Di Malaysia

Dodo Koko, Kafe Animasi Jepun Terbesar Di Asia Tenggara Kini Di Malaysia

Kuala Lumpur, 12 Februari 2025 – Dunia animasi Jepun di Malaysia kini berada di tahap tersendiri dan semakin mendapat tempat di hati ramai dengan pembukaan Doko Koko. 

Ini secara tidak langsung, meletakkan Doko Koko sebagai premis dan kafe anime terbesar di Asia Tenggara yang menawarkan pelbagai produk asli dan eksklusif terus dari Jepun. 

Selain menawarkan koleksi barangan eksklusif, Doko Koko turut menjalin kerjasama dengan pelbagai francais animasi Jepun bersiri yang terkenal sebagai salah satu pendekatan untuk menghasilkan tema kafe berkenaan pada setiap bulan. 

Terbaharu, Doko Koko telah memilih siri terkenal NIJISANJI EN dan Heaven’s Official Blessing sebagai tema pilihan sepanjang Januari dan Februari 2025. 

Pengarah Doko Koko, Joshua Wong Yong Chern, berkata matlamat utama penubuhan premis ini adalah untuk membawa budaya animasi Jepun dengan lebih dekat kepada peminatnya di Malaysia.

dodo koko

“Sebelum ini, peminat anime di Malaysia perlu ke Jepun untuk mendapatkan barangan asli yang bukan sahaja mahal, tetapi juga sukar diperolehi. 

“Dengan adanya Doko Koko, kami membawa satu pengalaman membeli-belah dunia anime ke Malaysia pada harga yang lebih berpatutan,” katanya. 

Menyokong Bakat Tempatan 

Selain membawa produk antarabangsa ke Malaysia, Doko Koko turut berhasrat untuk menyokong kreativiti artis tempatan dalam menghasilkan karya dan nukilan animasi mereka sendiri. 

“Ramai yang tidak tahu bahawa Malaysia juga mempunyai bakat hebat dalam dunia anime. Kami mahu memberi platform kepada artis tempatan untuk menonjolkan karya mereka,” kata Joshua Wong. 

Dengan pembukaan Doko Koko, peminat anime di Malaysia kini mempunyai akses lebih mudah terhadap minat mereka dan pengalaman unik tanpa perlu ke luar negara. 

Doko Koko juga boleh dijadikan tempat pertemuan komuniti peminat anime bagi berkongsi minat dan meraikan budaya bersama. 

dodo koko

Cabaran dalam Industri Animasi 

Menurut pengarah Doko Koko, cabaran utama dalam industri ini adalah mendapatkan lesen rasmi daripada pemegang hak cipta asal. 

“Kami ingin memastikan semua produk yang dijual di sini adalah asli dan berlesen. Semua ini berlaku kerana kami melalui proses kelulusan yang ketat. 

Walaupun kos untuk mendapatkan lesen agak tinggi, kami percaya ia penting untuk memastikan peminat anime mendapat produk berkualiti dan juga asli,” jelasnya.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Doko Koko merancang untuk membuka 10 lagi cawangan baharu di seluruh negara dalam masa terdekat serta menyasarkan Johor Bahru sebagai lokasi terkini mereka pada masa akan datang. 

Merchandise Eksklusif di Doko Koko 

Dodo Koko telah mengadakan majlis perasmian pada 12 Februari 2025, dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang di LOT G20A&B, LaLaport BBCC. 

Acara ini telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti tarian singa, upacara memotong reben dan sesi Lou Shang sempena sambutan Tahun Baru Cina. 

Majlis perasmian dihadiri oleh tetamu dari LaLaport BBCC sendiri yang memainkan peranan penting di dalam industri peruncitan dan animasi Jepun di Malaysia. 

Sebagai sebahagian daripada tarikan utama, Doko Koko juga menyediakan seleksi makanan bertemakan anime. Premis ini juga menjual pelbagai merchandise eksklusif yang sukar didapati di tempat lain. 

Terdapat figura daripada animasi Jepun terkenal, pakaian dan kit edisi terhad seperti gelas dan pelapik minuman dan pinggan bersama ilustrasi khas yang hanya boleh didapati di Doko Koko pada harga berpatutan.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: