Siakap Keli
program titipan kasih back to school
YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN diiringi dif-dif kehormat bergambar bersama penerima sumbangan.

200 Pelajar Sekolah Terima Bantuan Persekolahan Menerusi Program Titipan Kasih Back To School

200 Pelajar Sekolah Terima Bantuan Persekolahan Menerusi Program Titipan Kasih Back To School

Pulau Pinang, 13 Februari 2025 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional  (PTPTN) dengan kerjasama Harian Metro hari ini telah mengadakan Program Titipan Kasih Back To School. Program ini merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan setiap tahun oleh PTPTN dan merupakan tahun kedua  pelaksanaanya bersama Harian Metro. 

Program ini bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan dan meraikan pelajar yang melangkah masuk ke sesi baharu persekolahan dengan kelengkapan set pakaian serta beg sekolah yang baharu. Selain itu, program hasil  kerjasama antara PTPTN dan Harian Metro ini adalah sebagai salah satu usaha dalam menyokong pendidikan anak bangsa dan memberikan peluang yang lebih baik kepada mereka yang memerlukan. 

program titipan kasih back to school
YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN merasmikan Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN dan Harian Metro Tahun 2025.

Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN dan Harian Metro Tahun 2025 telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir YBrs. Encik  Husain Jahit, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro, YBrs. Encik Mohamad Said bin Ibrahim, Timbalan Pengarah  Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Encik Azlan Abdul Aziz, Pengurus Besar Kumpulan, Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat  Pengerusi, Media Prima Berhad, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar  Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN serta Encik Muhammad  Muhsin bin Abdul Rahman, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang. 

Program ini memberi manfaat kepada 200 orang pelajar dari dua (2) buah sekolah terpilih  di Pulau Pinang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Hj Mohamed Nor Ahmad, Pulau Pinang. Melalui program ini, pelajar asnaf akan menerima bantuan set pakaian sekolah serta beg sekolah berjumlah RM37,000 sumbangan daripada PTPTN.

Manakala pihak Media Prima Berhad pula turut memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah  RM20,000 di mana setiap pelajar akan menerima RM100.00 setiap seorang. Bagi memastikan bantuan yang diberikan dinikmati oleh golongan sasar, program ini turut melibatkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Menurut YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, “Program Titipan Kasih Back To School merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat PTPTN dalam memberikan sokongan kepada golongan asnaf. Kami percaya pendidikan adalah kunci utama untuk mengubah kehidupan dan kami berusaha memastikan semua pelajar berpeluang untuk  menerima pendidikan tanpa mengira latar belakang kewangan.” 

“Melalui program ini juga secara tidak langsung menunjukkan komitmen kami di PTPTN untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua. Kami percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat peluang yang sama untuk berjaya dan melalui usaha bantuan ini kami berharap dapat meringankan beban keluarga asnaf serta memberi semangat baharu  kepada anak-anak untuk memulakan tahun persekolahan dengan penuh keyakinan dan  harapan”, tambah beliau lagi. 

program titipan kasih back to school
Salah seorang pelajar menerima set lengkap pakaian dan beg sekolah serta sumbangan Simpan SSPN Prime semasa Program Titipan Kasih Back To School PTPTN dan Harian Metro Tahun 2025 di Pulau Pinang.

Sementara itu, Encik Husain Jahit, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro berkata, “Melalui sumbangan ini, kami berharap dapat memupuk budaya menabung dalam kalangan pelajar sejak usia muda serta  membantu mereka merancang masa depan pendidikan dengan lebih baik. Inisiatif ini juga  bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam memastikan akses pendidikan  yang lebih terjamin untuk anak-anak mereka.”

“Inisiatif yang dilaksanakan oleh Harian Metro ini turut mencerminkan keprihatinan dan komitmen Media Prima Berhad dalam menyumbang kembali kepada masyarakat. Melalui pelbagai program yang dirangka, kami berusaha untuk memberikan impak positif yang berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka,” ujarnya lagi. 

PTPTN telah mewujudkan instrumen simpanan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi. Simpan SSPN  menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai  pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan. 

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang merupakan peneraju tabung pendidikan tinggi negara akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: