Siakap Keli
china koronavirus baharu
Kredit: AFP

Saintis China Temui Koronavirus Baharu Dalam Kelawar, Berisiko Jangkiti Manusia

Saintis China Temui Koronavirus Baharu Dalam Kelawar, Berisiko Jangkiti Manusia

China – Sekumpulan penyelidik menemui koronavirus baharu dalam kelawar yang berpotensi menjangkiti manusia, lapor Anadolu Agency.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Makmal Guangzhou dengan kerjasama Akademi Sains Guangzhou, Universiti Wuhan dan Institut Virologi Wuhan itu diterbitkan dalam jurnal Cell pada Selasa.

Ia diketuai oleh saintis yang terkenal dengan hasil penyelidikannya di institut tersebut, Shi Zhengli, yang juga digelar sebagai ‘Batwoman’.

Menurut laporan, virus ini menggunakan reseptor angiotensin manusia (ACE2) yang sama seperti dilakukan virus COVID-19 dan SARS untuk menjangkiti sel manusia. Dilabel sebagai HKU5-CoV-2, virus tersebut merupakan keturunan novel koronavirus HKU5 yang ditemui ada pada kelawar pipistrelle Jepun di Hong Kong.

Pendedahan ujian makmal menunjukkan virus tersebut mampu menjangkiti sel manusia termasuk tisu paru-paru dan usus buatan. Ia juga mampu melekat pada reseptor manusia, kelawar dan haiwan lain sehingga meningkatkan kadar jangkitan antara spesies.

Biarpun HKU5-CoV-2 boleh melekat pada reseptor dengan lebih kuat dan lebih meluas berbanding strain asalnya, penyelidik menegaskan bahawa ia tidak berbahaya seperti SARS-CoV-2. Malah, kadar jangkitan antara manusia juga rendah.

Terdahulu, Institut Virologi Wuhan didakwa menjadi tempat bermulanya penyebaran virus COVID-19 apabila berlaku kebakaran di sana. Namun, dakwaan tersebut disangkal oleh Shi Zhengli.

Pada Disember 2019, kes pertama COVID-19 dilaporkan muncul di Wuhan. Penyebaran berlaku ke serata dunia sehingga menyebabkan penutupan kebanyakan negara dan jumlah kematian yang menghampiri tujuh juta orang.

Imbas kembali, Malaysia dilanda pandemik ini apabila kes pertama dikenal pasti pada 24 Januari 2020 yang ada pada pelancong dari China yang masuk melalui Singapura. Susulan itu, beberapa misi bantuan kemanusiaan turut dilancarkan bagi membawa pulang warganegara Malaysia dari beberapa lokasi di luar negara. Dalam lima misi yang melibatkan ratusan rakyat warganegara dan bukan warganegara ini, hanya 74 orang dikesan positif.

Biarpun virus ini kini sudah menjadi endemik di Malaysia, namun penularan varian Omicron dan subvariannya masih berlaku sehingga 2024. Menurut laporan KKM, kes positif yang dilaporkan menunjukkan penurunan sebanyak -50.4 peratus berbanding kes pada 2023.

BACA: Lelaki OKU Penglihatan Maut Terjatuh Di Landasan LRT Stesen Titiwangsa

Sumber: Anadolu Agency, MyHEALTH, Kementerian Kesihatan Malaysia

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.