Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ibu Zulfarhan Reda, Sedia Maafkan Enam Bekas Penuntut UPNM
PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) — Ibu kepada Pegawai Kadet Laut Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain reda dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan hukuman mati dan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Hawa Osman, 62, berkata walaupun anaknya tidak hidup kembali, dia sedia memaafkan keenam-enam individu terlibat.
Bapa Allahyarham, Zulkarnain Idros, 61, pula berkata dia memerlukan masa untuk menerima kenyataan itu.
“Luka yang ada ini sudah sembuh, tetapi parut tetap ada,” katanya kepada media selepas keputusan kes itu hari ini.
Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM itu kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.
Sebelum ini, lima bekas penuntut UPNM menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan manakala seorang lagi didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan kesemua lelaki itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan.
Pada 2 Nov 2021 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap semua enam lelaki itu selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.
Bekas penuntut yang kini berusia 29 tahun itu, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
BACA: Kes Zulfarhan: Enam Bekas Penuntut UPNM Terlepas Hukuman Mati, Penjara 18 Tahun Kekal
BACA: Kecederaan Zulfarhan Sebabkan Kematiannya Tidak Dapat Dibuktikan – Hakim
BACA: Kronologi Kes Bunuh Zulfarhan
Sumber: Bernama