Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Main Sambil Belajar, Ruang Edukidz Di MADAD Curi Tumpuan

Azizah Najib
edukidz madad
Kredit: TikTok Riwayat
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Anak-Anak Boleh Main Sambil Belajar, Ruang Edukidz Di MADAD Curi Tumpuan

Sinonimnya, masjid sering dikunjungi bagi golongan dewasa dan warga emas yang ingin menunaikan solat. Malah, masjid turut menjadi arah tuju untuk melepas lelah sementara bagi mereka yang bekerja dan musafir. Dengan kedamaian yang dirasai tanpa kesibukan urusan dunia, suasana tenteram di masjid menjadikan ia tempat yang sesuai bagi mencari ketenangan.

Seiring peredaran masa, semakin banyak masjid yang menyediakan ruang tambahan untuk kegunaan pengunjung. Antaranya dewan serbaguna, dewan akad nikah, dan ada juga yang menyediakan perpustakaan. Usaha-usaha memeriahkan masjid dengan pelbagai aktiviti ini dilihat semakin hari semakin berjaya menarik lebih ramai pengunjung, terutamanya golongan muda.

Inilah yang sedang diusahakan oleh salah sebuah institusi agama Islam di Sungai Petani, Kedah. Murtadha Dakwah Centre atau lebih dikenali penduduk setempat sebagai Masjid MADAD tidak hanya menyediakan ruang solat. Masjid ini turut menyediakan pelbagai lagi kawasan rekreasi dalam usaha menjadikannya sebagai pusat aktiviti gaya hidup Islam.

Selain mewujudkan ruang untuk kanak-kanak bermain di dalam tempat solat, pusat dakwah ini turut membangunkan beberapa lagi pusat aktiviti termasuk ruang untuk pembelajaran dan santai di bangunan berasingan. Seperti rakaman yang dikongsi seorang lelaki di TikTok, @riwayatkitaa, ruang ini menyediakan pelbagai jenis permainan yang menarik. Antara yang dapat dilihat menerusi video tersebut termasuk ball pit, gelongsor berlampu neon dan carousel.

Dipanggil sebagai Edukidz, ia baru sahaja dilancarkan pada Januari lalu.

Menurut lelaki berkenaan, ruang Edukidz itu ditutup sepanjang waktu solat berlangsung dan dibuka semula selepas solat di masjid selesai.

Bagi mereka yang ingin masuk ke Edukidz, bayaran sebanyak RM29.90 dikenakan pada hari Isnin sehingga Jumaat. Manakala bagi hujung minggu pula, pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM35.

Bayaran ini dikenakan untuk sepanjang hari tanpa had masa jadi pengunjung boleh keluar sebentar bersama anak-anak untuk menunaikan solat atau mengisi perut sebelum masuk semula ke Edukidz. Untuk pengetahuan, pihak pengurusan MADAD bakal mengadakan promosi dengan harga RM19.90 sepanjang bulan Ramadan ini.

https://www.facebook.com/reel/2942216009270731

“Maklumat tambahan, MADAD sedang membangunkan litar go-kart untuk pengunjung dewasa dan kanak-kanak di tingkat dua EduKidz,” ujar lelaki berkenaan.

Selain daripada ruang ini, pusat dakwah tersebut turut membangunkan Taman Kucing yang menjadi tempat berlindung kucing jalanan yang diselamatkan oleh Pasukan Rumah Kucing. Taman ini turut mempunyai kemudahan seperti klinik, bilik grooming dan hotel kucing. Sehingga kini, Taman Kucing menjadi tempat berlindung kepada 130 ekor kucing.

Malah, menerusi laman sesawang rasmi pusat dakwah berkenaan, pelbagai lagi ruang aktiviti yang sudah pun beroperasi disenaraikan seperti Rumah Kuda dan arena paintball. Semoga dengan wujudnya pusat dakwah sebegini dapat mengajak lebih ramai golongan muda tertarik untuk menyertai program-program di masjid.

BACA: Ini Senarai Lokasi Bazar Ramadan Rahmah 2025

Sumber: @riwayatkitaa, Murtadha Dakwah Centre (MADAD)