Wanita Jepun Jatuh Bangunan Isteri Ridzokumura – KP Selangor
SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) — Polis mengesahkan wanita warga Jepun yang maut dipercayai terjatuh daripada tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya Jumaat lepas merupakan isteri usahawan dan pempengaruh media sosial Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali Ridzokumura.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah, dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Polis telah mengambil keterangan Abd Ridzuan bagi membantu siasatan. Walaupun siasatan di bawah SDR, proses siasatan tetap sama seperti siasatan jenayah biasa, kita akan melihat sebarang kemungkinan sama ada unsur jenayah atau tindakan mangsa itu sendiri.
“Sekiranya terdapat bukti atau saksi yang menunjukkan wujud unsur jenayah, kita akan klasifikasikan semula kes mengikut kesalahan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Hussein berkata, pihak kedutaan Jepun telah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan keluarga mangsa di negara asalnya juga telah dimaklumkan.
BACA: Zarina Zainuddin ‘Bantu’ Allahyarhamah Akiko, Sediakan Sahur Buat Sky
Beliau dalam masa sama turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan tanpa mengetahui kesahihan sesuatu maklumat.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata mangsa berusia 50-an ditemukan meninggal dunia dalam keadaan meniarap di atas tanah oleh anggota polis peronda yang ke lokasi, selepas menerima panggilan kecemasan MERS 999.
Beliau berkata pemeriksaan awal pada tubuh mangsa dan tempat kejadian mendapati tiada sebarang kecederaan daripada perlakuan jenayah.
BACA: 6 “Founder” Terkenal Ini Pernah ‘Dihalau’ Dari Syarikat Sendiri
BACA: Trump Umum Lima Mata Wang Kripto Sebagai Rizab Strategik AS
Sumber: BERNAMA