Ini Sebab Kenapa Bulan Ramadan Semakin ‘Awal’ Setiap Tahun
Mungkin sewaktu zaman kanak-kanak dahulu, kita sering menyambut bulan Ramadan pada bulan-bulan pertengahan tahun atau penghujung tahun.
Namun seiring tahun bersilih ganti, menyaksikan ketibaan bulan suci ini semakin menginjak hingga awal tahun (ke depan).
Lima tahun lalu, bulan Ramadan disambut pada bulan Mei. Manakala pada tahun ini, seluruh umat Islam mula berpuasa pada awal Mac.
Mungkin dalam 5 atau 10 tahun lagi, kita mungkin akan menyambut bulan Ramadan pada awal Januari. Menarik bukan?
Tapi pernah tak anda terfikir kenapa setiap kali menyambut Ramadan, tarikhnya semakin menginjak ke hadapan?
Sehubungan itu, SK hari ini akan kongsikan sebab mengapa perkara ini terjadi di bawah.
Kenapa Tarikh Ramadan Berbeza Setiap Tahun?
Tahukah anda bulan Ramadan bermula 10 hingga 11 hari lebih awal setiap tahun?
Perkara ini disebabkan oleh perbezaan antara kalendar Islam (Hijriah) dan kalendar Masihi (Gregorian). Kalendar Hijriah berasaskan peredaran bulan (lunar), manakala kalendar Masihi berasaskan peredaran matahari (solar)
Untuk makluman, tahun lunar mempunyai kira-kira 354 atau 355 hari, iaitu sekitar 10 hingga 11 hari lebih pendek daripada tahun solar yang mempunyai 365 atau 366 hari.
Oleh itu, tarikh permulaan Ramadan dalam kalendar Masihi bergerak lebih awal sekitar 10 hingga 11 hari setiap tahun.
Tidak mustahil bahawa bulan Ramadan akan disambut sebanyak dua kali dalam setahun.
Dua Kali Sambut Ramadan Dalam Satu Tahun
Menurut Al Jazeera, Ramadan akan disambut dua kali pada tahun 2030, pada awal bulan Januari dan penghujung Disember.

Umat Islam Di Malaysia Mula Puasa Ahad
Sebelum ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan ibadah puasa di Malaysia secara rasminya pada Ahad (2 Mac).
Ia selepas media melaporkan tarikh melihat anak bulan bagi Ramadan tahun ini ditetapkan pada 28 Februari bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah.
Sumber: Al Jazeera, Kompas.com