Polis Tembak Mati Warga Emas Ada 14 Rekod Jenayah
JOHOR BAHRU — Polis menembak mati seorang warga emas dengan 14 rekod jenayah dalam satu kejadian berbalas tembakan di Taman Molek awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar mengesahkan kejadian selepas pihaknya menerima laporan pada jam 3.10 pagi.
“Kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kontinjen Johor sedang melakukan rondaan dengan dua buah kenderaan polis.
“Unit peronda mengesan sebuah motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang seorang lelaki di kawasan Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek dalam keadaan mencurigakan.
“Pihak polis mengekori dan berjaya menahan motosikal tersebut di kawasan berhampiran.
“Semasa pihak polis hendak turun bagi membuat pemeriksaan, tiba-tiba penunggang motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan serbuan menyebabkan pihak polis berbalas tembakan untuk mempertahankan diri sehingga keadaan selamat,” kata M Kumar dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan polis mendapati suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 63 tahun telah terkena tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Turut ditemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson di atas jalan berhampiran dengan suspek serta empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru di lokasi kejadian.
BACA: Ini Senarai Lokasi Bazar Ramadan Rahmah 2025
“Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah termasuk satu rekod di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, satu rekod di bawah Akta Senjata 1960, serta satu rekod masih dikehendaki (Wanted).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan ketika melakukan kesalahan berjadual,” katanya.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang ramai agar sentiasa menyalurkan maklumat berhubung kejadian jenayah serta dadah di lokaliti masing-masing dalam membantu usaha polis memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Sebarang maklumat berhubung kes jenayah dan dadah boleh disalurkan ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-2212999,” katanya lagi.
https://www.facebook.com/PolisJohor/posts/pfbid0TU32Dj6cV4rraCkh1nMABBKK71LpRhgnUcACLz9WkQWwXuwFrsYEDFEqGaXFnSvAl
Sumber: Facebook Polis Johor