Arab Saudi Catat Rekod Tertinggi Kehadiran Jemaah Umrah Sehari
Arab Saudi mencatat sejarah baharu apabila jumlah jemaah Umrah dalam sehari mencapai angka tertinggi.
Pada Khamis, seramai sekitar 500,000 jemaah memasuki Masjidil Haram, menurut Pengurusan Am Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Bagi memastikan kelancaran pergerakan jemaah dan meningkatkan keberkesanan operasi, pihak berkuasa telah memperkenalkan sistem pemantauan canggih.
Ini termasuk pemasangan sensor pengesan di pintu masuk utama Masjidil Haram untuk memantau jumlah jemaah secara masa nyata.
Selain itu, kamera pintar turut digunakan bagi mengesan pergerakan serta mengenal pasti kawasan berisiko sesak dengan lebih tepat.
Gabungan sensor dan pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) membolehkan pihak berkuasa menilai keadaan orang ramai secara serta-merta.
Sistem ini juga membantu mengoptimumkan pengagihan jemaah, khususnya di kawasan Mataf (tempat tawaf di sekitar Kaabah) dan Mas’a (laluan antara Safa dan Marwah).
Teknologi ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselamatan jemaah, memastikan aliran keluar masuk yang lancar serta membolehkan tindak balas pantas semasa waktu puncak.
Sistem ini menjadi saksi kepada kehadiran jemaah Umrah tertinggi yang pernah direkodkan dalam sehari.
Dalam masa yang sama, pihak keselamatan di Makkah terus bersiap siaga bagi memastikan kesejahteraan jemaah, terutama sepanjang bulan Ramadan yang menyaksikan peningkatan ketara jumlah pengunjung.
Dengan kerjasama agensi keselamatan lain, anggota bertugas bukan sahaja mengawal pergerakan orang ramai.
Mereka juga membantu golongan warga emas, menyatukan kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga, serta memberikan panduan kepada jemaah yang memerlukan.
BACA: Gabenor New York Isytihar Darurat
BACA: Guru Guna AI ‘Hidupkan’ Impian Pelajar Raih Pujian
BACA: Orang Ramai Dijemput Hadir Berbuka Puasa Bersama PM Di Putrajaya
Sumber: Gulf News