Gabenor New York Isytihar Darurat
Gabenor New York, Kathy Hochul, mengisytiharkan darurat susulan kebakaran belukar yang merebak pantas di Long Island pada Sabtu.
Kebakaran yang ditiup angin kencang itu telah memusnahkan kawasan yang luas, menyebabkan kepulan asap tebal memenuhi udara serta memaksa pemindahan pangkalan tentera dan penutupan lebuh raya utama.
Menurut Hochul, pasukan keselamatan dan agensi negeri sedang bertindak untuk mengawal kebakaran di sekitar Pine Barrens, kawasan hutan yang terletak di bandar komuter timur New York City.
Beberapa premis seperti rumah kediaman, kilang bahan kimia dan gudang Amazon turut berisiko, dengan kemungkinan lebih banyak pemindahan diperlukan.
“Ketika ini, kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya. Penduduk di kawasan Westhampton terpaksa dipindahkan bagi mengelakkan risiko,” kata Hochul kepada stesen televisyen News 12 Long Island.
Sebahagian kebakaran berjaya dikawal
Pegawai tempatan melaporkan bahawa daripada empat kebakaran yang berlaku, tiga daripadanya telah berjaya dikawal sepenuhnya.
Manakala, kebakaran di Westhampton hanya berjaya dibendung sebanyak 50 peratus.
Dua bangunan komersial mengalami kerosakan separa akibat kebakaran, namun tiada rumah kediaman yang berada dalam laluan api.
Selain itu, seorang anggota bomba mengalami kecederaan akibat melecur di muka dan telah diterbangkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Cabaran utama kami ialah angin kencang yang menghidupkan api dan menyukarkan usaha pemadaman,” jelas Eksekutif Daerah Suffolk, Ed Romaine.
Helikopter National Guard dikerah
Rakaman yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan api marak dengan kepulan asap hitam menjulang ke udara di sepanjang jalan utama.
Susulan itu, helikopter Air National Guard dikerahkan untuk ‘menjatuhkan’ air bagi membantu usaha pemadaman.
Pentadbiran Bandar Southampton turut mengeluarkan amaran kepada penduduk agar tidak menyalakan api rekreasi bagi mengelakkan risiko kebakaran bertambah buruk.
Dalam satu kenyataan rasmi, Hochul menegaskan bahawa keselamatan penduduk Long Island adalah keutamaan dan pihaknya akan mengambil segala langkah yang perlu bagi mengawal situasi ini.
“National Guard telah dikerah untuk memberi bantuan melalui udara dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Berdasarkan data satelit awal daripada Sistem Maklumat Kebakaran NASA, api dan asap dipercayai merebak sejauh kira-kira tiga kilometer di sepanjang Lebuh Raya Sunrise.
Pihak berkuasa telah menutup sebahagian lebuh raya tersebut kerana ia merupakan laluan utama ke East End Long Island.
Pangkalan tentera dipindahkan
Kebakaran turut berlaku berhampiran Lapangan Terbang Francis S. Gabreski, yang menjadi pusat pelancaran helikopter National Guard untuk operasi pemadaman.
Salah satu bangunan komersial yang rosak terletak berdekatan dengan lapangan terbang tersebut.
Sebagai langkah berjaga-jaga, anggota tentera di pangkalan itu telah diarahkan untuk berpindah bermula sekitar jam 1:45 petang, menurut jurucakap Cheran Cambell.
Setakat ini, usaha pemadaman masih diteruskan bagi mengawal api daripada terus merebak.
BACA: Guru Guna AI ‘Hidupkan’ Impian Pelajar Raih Pujian
BACA: Dakwa Kerap Korek Hidung, Lelaki Terpaksa Jalani Pembedahan Kecemasan
BACA: Detik Cemas Powerbank Terbakar Dalam Tren MRT
Sumber: AP News