Detik Cemas Powerbank Terbakar Dalam Tren MRT
Kejadian cemas berlaku dalam sebuah tren MRT apabila sebuah powerbank milik penumpang tiba-tiba terbakar sebaik tiba di Stesen Raffles Place di Laluan East-West, petang Jumaat.
Menurut syarikat pengendali pengangkutan SMRT, butang komunikasi kecemasan telah diaktifkan pada tren yang bergerak ke arah timur sekitar jam 5.30 petang.
“Kakitangan kami bertindak pantas dan mendapati sebuah powerbank milik penumpang telah terbakar,” kata Presiden SMRT Trains, Lam Sheau Kai dalam kenyataan kepada media.
Pasukan stesen segera menggunakan alat pemadam api untuk memadamkan kebakaran dan memastikan kesemua 650 penumpang dalam tren berkenaan turun dengan selamat.
Penumpang panik, tiba-tiba terhidu asap tebal
Menurut wanita yang terlibat, dia tidak menyedari bahawa powerbank miliknya yang disimpan dalam beg telah terbakar sehingga melihat reaksi panik penumpang lain.
“Saya nampak kepulan asap tebal dalam gerabak. Ketika itu, saya belum sedar ia berpunca daripada saya sendiri sehinggalah orang ramai menjauhkan diri,” katanya menerusi media sosial Xiaohongshu.
Ketika pintu tren dibuka, wanita tersebut segera membaling begnya ke lantai gerabak yang kosong dan melarikan diri bersama penumpang lain.
Beliau turut memuat naik gambar keadaan gerabak yang dipenuhi asap, tangannya yang menghitam, serta powerbank dan beg yang rosak akibat kebakaran.


Bagi mengawal keadaan, kakitangan SMRT segera mengaktifkan sistem ekzos di stesen untuk mengeluarkan asap.
Perkhidmatan tren disambung semula setelah tren yang terjejas dibawa ke depot untuk pemeriksaan.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengesahkan menerima laporan insiden itu sekitar jam 5.45 petang.
Mereka memaklumkan bahawa kebakaran telah dipadamkan oleh kakitangan SMRT sebelum ketibaan pasukan SCDF.
“Hasil siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada masalah elektrik dalam powerbank,” menurut kenyataan SCDF.
BACA: Bekas Pemain Arsenal Disaman Ibu Bapa Kandung
BACA: ‘Siuuu’ Faisal Halim Kembali Bergema, Ledak Hatrik Bantu Selangor Benam KDN
BACA: Tiada Rakyat Malaysia Terlibat Insiden Tembakan, Letupan Bom Di Sungai Golok – Polis
Sumber: CNA