Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kedutaan Besar, Muhammadiyah Bahas Penubuhan Malaysia Madani Malindo Di Jakarta
JAKARTA, 13 Mac (Bernama) — Penubuhan Majlis Madani Malaysia-Indonesia (Malindo) dan masa depan Asia Tenggara sebagai pusat peradaban Islam menjadi topik perbincangan pertemuan tokoh terkemuka pertubuhan Islam Indonesia, Muhammadiyah dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Tokoh Muhammadiyah yang hadir pada majlis, Berbuka Puasa dan Silaturahim bersama Duta Besar di Jakarta Pusat pada Rabu adalah bekas Ketua Umum Pimpinan Pusat Prof Din Syamsuddin, Ketua Pusat Pimpinan Buya Anwar Abbas, dan Setiausaha Agung Majlis Ulama Indonesia Pusat Dr Amirsyah Tambunan.
Ditubuhkan pada 1912, Muhammadiyah merupakan antara pertubuhan Islam paling berpengaruh di Indonesia dengan lebih 60 juta pengikut dan aktif mempromosikan pendidikan, kebajikan sosial, dan pendekatan moden terhadap Islam.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, berkata perbincangan itu memupuk pembaharuan sekali gus mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara agar dapat menyumbang kepada peradaban global yang lebih luas.
Beliau turut memaklumkan minat Muhammadiyah terhadap dasar “Madani” Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan mencadangkan penubuhan serta mesyuarat pertama Majlis Madani Malindo.
“Kita akan memperhalusi mekanisme terbaik untuk memastikan kejayaan pelaksanaan,” katanya kepada Bernama.
Syed Mohamad Hasrin percaya penyertaan pertubuhan Islam lain pada masa depan juga mungkin penting untuk menggalakkan perpaduan, peradaban dan pembangunan ekonomi.
Mengulas lanjut, Din Syamsuddin berkata langkah-langkah untuk mencapai hasrat itu termasuk penubuhan jawatankuasa di kedua negara bagi menentukan bilangan peserta terdiri daripada cendekiawan Muslim, topik dan lokasi mesyuarat sama ada di Kuala Lumpur atau Jakarta.
“Majlis Madani Malindo yang dicadangkan akan mengeratkan hubungan kedua negara dan membincangkan visi Anwar mengenai negara ‘Madani’ yang mungkin boleh menjadi model pembangunan tamadun dunia,” katanya.
Buya Anwar menzahirkan harapan hubungan Malaysia dan Indonesia lebih bermakna kerana solidariti dan perpaduan antara pemimpin kedua-dua negara perlu dibangunkan serta merealisasikan tamadun Asia Tenggara yang unik demi manfaat kedua negara.
Tambahnya, Asia Tenggara dengan populasi umat Islam yang besar melebihi 300 juta, berpotensi untuk mengalihkan pusat tamadun Islam dari Timur Tengah ke rantau ini.
“Tidak mustahil untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai pusat tamadun Islam global,” tegas Buya Anwar.
Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Farzamie Sarkawi, Menteri Kedutaan Hairul Reaza Haroun Al Rashid, Atase Pertahanan Brigedier Jeneral Azrin Iskandar Zulkaply, Atase Agama Mohd Shamsuri Ghazali dan Setiausaha Pertama Mohd Faiz Firdaus Kamaruddin.
BACA: Lelaki Sesat Jalan, Naik Motor Sendiri Tapi “Order” E-Hailing
Sumber: Bernama