Bayi Ditemukan Hanya Beralas Tuala Dalam “Baby Hatch”, Bakal Terima Keluarga Angkat
Memiliki zuriat adalah impian yang tersemat di hati setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.
Kehadiran cahaya mata bukan sekadar pelengkap kehidupan, malah ia adalah anugerah terindah dan hadiah yang tidak ternilai daripada Maha Pencipta.
Bagi kebanyakan pasangan, kelahiran anak membawa kegembiraan yang sukar digambarkan, menjadi penyeri rumah tangga dan pengikat kasih sayang antara suami isteri.
Namun, di sebalik kebahagiaan itu, wujud juga kisah pilu yang sukar diterima akal.
Saban tahun, kita sering dikejutkan dengan berita bayi yang ditinggalkan dalam keadaan menyayat hati di tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
Memang benar, perbuatan ini keji, tidak berhati perut, dan langsung tidak berperikemanusiaan.
Namun, siapa tahu, “jalan terakhir” itu mungkin bukan pilihan yang mereka inginkan.
Mungkin juga mereka sebenarnya buntu, tidak tahu cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Lebih memilukan, ada di antara mereka yang tersilap langkah, lalu dihantui ketakutan yang sukar dibayangkan.
Takut dicemuh masyarakat dan bimbang mengecewakan keluarga – semua perasaan ini memaksa mereka membuat keputusan yang tragis tanpa memikirkan akibat jangka panjang.
Malangnya, mereka tidak menyedari bahawa keputusan itu bukan sahaja meninggalkan luka di hati, tetapi juga menghantui mereka sepanjang hayat.
“Tanpa Baby Hatch, bayi ini mungkin telah mati,” – OrphanCare
Terdahulu, perkongsian daripada OrphanCare Foundation di media sosial meraih perhatian ramai apabila mereka berkongsi kisah menyayat hati mengenai seorang bayi yang ditinggalkan di Baby Hatch sehari sebelum Ramadan.
Bayi itu hanya beralaskan sehelai tuala tanpa sebarang nota atau petunjuk mengenai asal-usulnya.

Bagi yang belum tahu, Baby Hatch ialah kemudahan khas di bawah OrphanCare Foundation yang menyediakan tempat perlindungan selamat untuk bayi yang ditinggalkan secara rahsia.
Diasaskan pada 2008 oleh Allahyarham Dato’ Adnan Mohd Tahir, OrphanCare bertujuan memberi peluang kepada bayi dan kanak-kanak untuk membesar dalam keluarga penyayang dan persekitaran positif.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Deinstitutionalization (DI), OrphanCare memperkenalkan Baby Hatch untuk memberi peluang kedua kepada bayi yang kurang bernasib baik.
Untuk info, sejak dilancarkan, Baby Hatch telah berjaya menyelamatkan lebih 672 bayi yang kini membesar dalam keluarga angkat.
@orphancare.foundation ♬ original sound – OrphanCare Foundation – OrphanCare Foundation
OrphanCare bawa sinar harapan buat malaikat kecil yang tidak berdosa
OrphanCare menyediakan tiga cara untuk ‘menerima’ bayi:
1. Secara langsung sebelum bersalin – Ibu hamil yang memerlukan bantuan boleh terus menghubungi OrphanCare untuk mendapatkan sokongan.
2. Selepas bersalin – Ibu yang baru melahirkan bayi boleh meminta bantuan secara rahsia dan selamat.
3. Melalui Baby Hatch – Bayi boleh diletakkan secara “anonymous” di Baby Hatch tanpa perlu memberikan sebarang maklumat peribadi.
Bagi wanita yang berdepan dengan keputusan besar mengenai masa depan bayi mereka, OrphanCare menyediakan sesi kaunseling peribadi.
Sesi ini bertujuan membantu mereka membuat pilihan terbaik dengan bimbingan dan sokongan yang betul.
Dengan panduan yang sesuai, ramai ibu bapa yang sebelum ini buntu akhirnya mampu membina kehidupan lebih baik untuk anak mereka.
Sekiranya selepas kaunseling ibu kandung memilih untuk menyerahkan bayi mereka, OrphanCare akan menguruskan proses penempatan anak angkat secara teliti.
Malah, ibu kandung diberi peluang untuk memilih dan bertemu dengan pasangan keluarga angkat yang bakal menjaga bayi mereka.
Sokongan OrphanCare tidak terhenti di situ. Mereka menawarkan bantuan susulan selama satu tahun kepada ibu kandung dan sehingga dua tahun untuk keluarga angkat bagi memastikan kesejahteraan semua pihak terjaga.
Selain itu, walaupun bayi telah diserahkan kepada keluarga angkat, ibu kandung masih boleh mendapatkan kemas kini atau gambar bayi melalui OrphanCare.
Menghadapi stigma & salah faham
Namun, usaha murni ini tidak terlepas daripada kritikan. Ada pihak yang beranggapan Baby Hatch menggalakkan perlakuan zina dan pembuangan bayi.
Hakikatnya, OrphanCare tidak menyokong perbuatan tersebut, sebaliknya berusaha menyelamatkan nyawa bayi yang tidak bersalah.
“Bukan saya tak mahu jaga cucu saya, tetapi kalau saya jaga, anak saya akan dilabel sebagai budak jahat, budak liar sedangkan anak saya dirogol. Cucu saya akan dicemuh masyarakat dan dipanggil anak zina,” kongsi seorang nenek.
Situasi ini menunjukkan bahawa tidak semua wanita berada dalam keadaan yang mereka inginkan.
Sebahagian daripada mereka terpaksa menghadapi situasi di luar kawalan dan memerlukan sokongan serta bantuan, bukannya kritikan atau penghakiman.
Usaha berterusan dengan sokongan masyarakat
OrphanCare sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang Baby Hatch dan kepentingan menyelamatkan nyawa bayi.
Baru-baru ini, Zahirah McWilson dan Aiman Hakim melawat OrphanCare untuk memahami lebih lanjut tentang operasi mereka.
Pasangan selebriti itu juga menyeru orang ramai agar tampil mendapatkan bantuan jika berada dalam situasi yang sukar kerana setiap nyawa adalah berharga.
@orphancare.foundation Thank You both @zahirahmacwilson and @aimanhakimridza for agreeing to help & create more awareness of what OrphanCare does 🙏🏼 🩷 Our motto is, “Every Child Needs a Family” and we have saved 675 babies till today ❤ “We wanted to help. We wanted to make awareness. We wanted to do our part. We want to pass on the message from OrphanCare that so many seem to have a misconceptions about. A topic that no one wants to talk about but so easily judge. Baby Hatch bukan tempat buang baby. Baby Hatch adalah tempat untuk selamatkan baby dari dibuang. Apa jua sebab jika ada yang menghadapi keadaan hamil tanpa dirancang, OrphanCare akan bantu anda samada semama kehamilan atau selepas melahirkan. Anda dan baby anda berhak mendapat masa depan yang baik. Please seek help. Seek OrphanCare. @orphancare_foundation
♬ original sound – OrphanCare Foundation – OrphanCare Foundation
Dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi, OrphanCare terus menjadi sinar harapan buat bayi-bayi yang ditinggalkan dan memberikan peluang kedua kepada wanita yang memerlukan.
Setiap bayi layak untuk hidup dalam lingkungan keluarga yang penuh kasih sayang, dan Baby Hatch menjadi ‘jambatan’ untuk merealisasikan impian ini.
BACA: Tengah Masak Tapi Gas Habis, Wanita Kongsi Solusi ‘Kreatif’
BACA: Rakaman CCTV Keluarga Ni Buat Warga Maya Sebak