Lamine Yamal Pemain Pertama Dalam Pasukan Sepanyol Berpuasa
Bintang bola sepak Sepanyol, Lamine Yamal menjadi pemain pertama dalam sejarah pasukan kebangsaan negara itu yang berpuasa pada bulan Ramadan.
Menerusi hantaran pemerhati sukan terkenal dunia, Fabrizio Romano di Facebook, pemain berusia 17 tahun itu memutuskan untuk beribadah sebagai tanda menghormati tradisi Muslim dalam keluarganya.
Tindakan Yamal yang juga pemain Barcelona itu telah mendapat perhatian ramai terutama penyokong bola sepak global. Dalam masa sama, mereka sangat kagum dengan dedikasi serta pengorbanannya sebagai seorang Muslim dan pemain bola.
Lamine Yamal dapat pengecualian daripada berpuasa pada hari perlawanan
Menurut portal Yahoo! Sports, tahun ini merupakan Ramadan pertama di mana Yamal aktif menjalani ibadah puasa.
Malah, kelab Barcelona telah memberikan diet khas untuk memenuhi keperluannya.
Ketika matahari mula terbenam, Yamal akan berkumpul bersama keluarganya di rumah bapa saudaranya di Rocafonda.
Walaupun sedang berpuasa, namun ia tidak menjejaskan prestasinya sebagai pemain bola sepak terbaik.
Ini bukan sesuatu yang baharu bagi kelab Barcelona, yang sebelum ini mempunyai pengalaman mengendalikan Franck Kessie dan Moussa Dembele yang turut menyambut Ramadan.
Namun, terdapat beberapa pengecualian mungkin diberikan kepada mereka yang berpuasa. Diario AS melaporkan bahawa Lamine Yamal mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama untuk tidak berpuasa pada hari-hari perlawanan Barcelona.
Pemain yang berpuasa memiliki pelan khas
Menurut portal Relevo, terdapat 34 pemain bola sepak Muslim yang aktif dalam La Liga, termasuk dua pemain Real Madrid, iaitu Arda Güler dan Antonio Rüdiger.
Pasukan dengan jumlah pemain yang berkemungkinan berpuasa paling ramai ialah Real Valladolid, di mana memiliki tujuh pemain Muslim dalam skuad mereka dan Villarreal mempunyai empat pemain.
Ia merupakan perkara biasa dalam unit pemakanan sukan untuk mempunyai pelan khas bagi pemain yang berpuasa pada bulan Ramadan.
Relevo berkata, kebanyakan perlawanan berlangsung selepas matahari terbenam di Sepanyol, sekaligus membolehkan para pemain mendapatkan tenaga sama ada sebelum atau semasa perlawanan.
BACA: Indikasi Kebakaran Kargo Cetus Respons Kecemasan MH720
BACA: Saintis China Perkenal ‘Zuchongzhi 3.0’, Cip Kuantum Lebih Pantas Dari Superkomputer