Netanyahu Beri Amaran, Serangan Ke Atas Gaza Hanya Satu Permulaan
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran pada Selasa bahawa serangan besar-besaran ke atas Gaza hanyalah “satu permulaan”, lapor AFP.
Netanyahu dalam satu kenyataan video pada petang Selasa berkata, Hamas sudah merasai kesan serangan itu dalam tempoh 24 jam yang lalu.
“Saya mahu berjanji kepada kamu dan mereka, ini hanya permulaan,” ujarnya,
Menurut AFP, rundingan untuk meneruskan gencatan senjata fasa pertama sudah tamat, namun Israel dan Hamas tidak bersetuju sama ada untuk beralih ke peringkat baharu yang bertujuan untuk menamatkan perang.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan rundingan kini hanya akan berlaku “di bawah serangan”.
“Tekanan tentera adalah penting untuk membebaskan tebusan tambahan,” katanya lagi.
Israel berikrar untuk terus berjuang sehingga kembalinya semua tebusan yang ditawan Hamas ketika serangan Oktober 2023 yang mencetuskan perang.
Kemudahan perubatan kini berada dalam keadaan kritikal
Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas, ia merupakan serangan terbesar sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Januari lalu.
Menjelang petang Selasa, saksi di Gaza berkata, serangan itu sebahagian besarnya dihentikan walaupun pengeboman berterusan.
“Tiba-tiba berlaku letupan besar, seolah-olah ia adalah hari pertama perang,” kata seorang wanita berusia 43 tahun dari Bandar Gaza.
Wanita berkenaan turut menambah bahawa beberapa saudaranya cedera atau terbunuh dalam serangan itu.
Hamas belum bertindak balas secara ketenteraan setakat ini, malah dalam satu kenyataan menyeru negara-negara sahabat memberi ‘tekanan’ kepada Amerika Syarikat supaya mendesak sekutunya, Israel untuk menghentikan serangan.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan seramai 413 mangsa terkorban telah diterima oleh hospital, sambil menambah “sebilangan mangsa masih berada di bawah runtuhan”.
Jurucakap UNICEF, Rosalia Bollen memberitahu kepada AFP bahawa serangan terbabit telah menyebabkan kematian puluhan kanak-kanak dan ramai yang cedera.
Dalam masa sama, kemudahan perubatan yang musnah akibat perang kini berada dalam keadaan kritikal.
BACA: Warga Emas Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Lelaki Bukan Muslim
BACA: Saintis China Perkenal ‘Zuchongzhi 3.0’, Cip Kuantum Lebih Pantas Dari Superkomputer
Sumber: AFP