Safee Sali Lelong Jersi Ikonik Miliknya, Ada Terjual Hingga RM3K
Bekas pemain bola sepak negara, Mohd Safee Mohd Sali atau lebih dikenali dengan nama Safee Sali membuka lelongan jersi miliknya di laman Facebook Safee Sali 10 Official.
Menerusi muat naik terbaharu, bekas pemain kebangsaan itu membuka lelongan jersi Harimau Malaya bernombor 10 yang pernah disarungkan pada tahun 2008 dengan harga bermula RM2,000.
“Setiap jersi yang saya simpan membawa bersamanya kenangan yang indah dan momen yang tak terlupakan. Tawaran tertinggi akan mendapat peluang untuk memiliki jersi sentimental ini. Saatnya untuk melepaskan yang lama dan memberi ruang untuk pengalaman baru.
“Terima kasih, wahai kenangan terindah dan atas segala yang telah kau ajarkan,” nukil beliau.
Lelongan beberapa helai jersi miliknya itu telah bermula semenjak Ahad, 16 Mac lalu dengan bidaan setinggi RM5,000.

Antara jersi yang telah terjual setakat ini termasuk jersi KL City FC yang disarungkan pada tahun 2021 dan jersi Harimau Malaya bagi Piala AFF tahun 2016.
Selain itu, jersi Selangor FC ketika beliau menjulang piala FA pada tahun 2009 turut terjual dengan harga bidaan akhir RM3,200. Manakala jersi ketika pasukan Johor Darul Takzim bertembung FC Istiklol pada perlawanan akhir Piala AFC 2015 terjual dengan harga bidaan akhir RM2,888.

Antara lain, kasut but bola sepak yang pernah dipakai ketika menentang Indonesia dalam perlawanan akhir Piala AFF 2010 terjual pada harga bidaan RM4,000.
Bidaan tertinggi pakaian sukan milik bekas pemain bola itu dibuka pada harga RM5,000 bagi jersi Harimau Malaya di perlawanan Piala AFF 2012. Ia diikuti jersi Harimau Malaya di perlawanan Piala AFF 2014 dengan bidaan bermula RM4,000.


Menjengah kehidupan bekas pemain bola sepak terkemuka ini, Safee Sali kini menggalas tanggungjawab sebagai pundit di saluran Astro Arena. Di samping itu, bintang bola sepak negara ini turut menjadi penyampai radio di Era FM sejak 12 Ogos 2023.
Berkumandang di corong radio pada setiap Sabtu, Safee Sali mengendalikan segmen Super Safee ERA pada jam 10 hingga 11 pagi. Segmen tersebut membincangkan maklumat terkini berita sukan tempatan dan antarabangsa. Malah, segmen tersebut turut menampilkan tetamu undangan bidang sukan dari dalam dan luar negara.
BACA: Selangor Umum BKK Tambahan Setengah Bulan Gaji Untuk Penjawat Awam Negeri
Sumber: Facebook Safee Sali, Era FM, Gempak