Siakap Keli
Guo Jiaxuan Meninggal Dunia
Kredit: fcbayern via Instagram

Pemain Bola Sepak China, Guo Jiaxuan Meninggal Dunia

Pemain Bola Sepak China, Guo Jiaxuan Meninggal Dunia

Seorang pemain bola sepak China, Guo Jiaxuan dilapor meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius di kepala ketika sesi latihan di Sepanyol, lapor AFP.

Berita duka itu dimaklumkan oleh kelab bola sepaknya pada Khamis.

Guo berada dalam keadaan koma sejak bulan lalu selepas insiden dalam perlawanan latihan antara pasukan B-20 Beijing dan kelab Sepanyol, RC Alcobendas di Madrid.

Beliau disahkan mengalami kematian otak di sebuah hospital tempatan sebelum dipindahkan ke Beijing untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, beliau menghembuskan nafas terakhir pada malam Rabu, sehari sebelum ulang tahunnya yang ke-19.

“Kami kehilangan seorang pemain yang mencintai sukan bola sepak. Semoga Jiaxuan bersemadi dengan tenang,” kata kelab Beijing Guoan dalam kenyataan di media sosial.

Mendiang merupakan pemain bola sepak yang berbakat

Kelab itu turut memaklumkan akan mengambil langkah sewajarnya bagi menguruskan situasi selepas kejadian, selain memberikan sokongan kepada keluarga mendiang.

Guo bermain untuk pasukan U-19 Beijing Guoan dan dipilih untuk pasukan U-17 China pada tahun 2023.

Pada tahun yang sama, beliau juga merupakan sebahagian daripada projek FC Bayern World Squad yang dikendalikan oleh kelab terbesar Jerman untuk pemain berbakat dari seluruh dunia.

“Kelab ini turut berdukacita. Takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya,” kata Bayern Munich dalam satu kenyataan.

Keluarga Guo menuntut keadilan daripada BFA

Terdahulu, keluarga Guo mendakwa Persatuan Bola Sepak Beijing (BFA) cuba menyembunyikan maklumat mengenai kejadian yang menimpa pemain itu dan gagal berkomunikasi dengan mereka.

Dalam pada itu, punca kematiannya juga tidak dijelaskan oleh BFA secara terperinci.

Mereka turut menuntut rakaman video perlawanan, butiran rawatan perubatan sebelum beliau tiba di hospital serta maklumat mengenai perlindungan insuransnya.

BFA memaklumkan bahawa pihaknya tidak mendedahkan maklumat secara berterusan sejak insiden itu berlaku. Ia bagi mengelakkan gangguan terhadap rawatan perubatan dan mengambil kira perasaan keluarga mangsa.

“BFA kini telah memperoleh rakaman video perlawanan dan sedang menganalisisnya dengan bantuan pakar, selain berusaha untuk memastikan rawatan terbaik untuk Guo dan memenuhi keperluan keluarganya,” ujar BFA menerusi kenyataan.

BACA: Amaran Hujan Lebat Di 7 Negeri & 1 Wilayah Malam Ini

Sumber: AFP

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.