Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Insa Masih Ikuti Program Pemulihan Individu – Cklamovski
JOHOR BAHRU, 21 Mac (Bernama) — Spekulasi mengenai ketiadaan Natxo Insa dalam sesi latihan skuad kebangsaan menjelang aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal akhirnya terjawab selepas ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, mengesahkan bahawa pemain itu sedang menjalani program pemulihan individu.
Menurut beliau, Insa baru sahaja melalui jadual yang padat bersama pasukannya, Johor Darul Ta’zim FC (JDT), dan kini dalam proses pemulihan untuk memulihkan kembali kecergasannya.
“Insa belum berlatih bersama kami. Dia sedang mengikuti rancangan pemulihan individu dan kami akan membuat keputusan kemudian sama ada dia boleh menyertai latihan pasukan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Cklamovski turut memaklumkan bahawa seorang lagi pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi, juga sedang menjalani pemulihan individu tetapi tetap hadir dalam sesi latihan skuad kebangsaan.
“Pelan pemulihan Arif sedikit berbeza, masih bersifat individu tetapi anda dapat melihat dia berada di padang latihan melakukan beberapa kerja bersama pasukan perubatan. Kami harap dia dapat menyertai latihan pasukan pada sesi seterusnya,” katanya.
Mengenai perkembangan latihan skuad kebangsaan, Cklamovski berkata pasukan menunjukkan peningkatan dalam pelbagai aspek, dan pemain memberikan komitmen penuh sepanjang sesi latihan.
Beliau berkata pemain semakin serasi dengan pendekatan taktikal yang diterapkan dan akan memanfaatkan sesi latihan terakhir untuk memperhalusi persiapan.
“Kami bergerak ke arah yang betul. Ada banyak perkara baik yang sedang kami usahakan dalam latihan, yang dapat dilihat dalam permainan kami. Kami akan memanfaatkan beberapa hari lagi untuk menyelesaikan persiapan akhir,” katanya.
Cklamovski turut menyeru penyokong untuk hadir ke Stadium Sultan Ibrahim di sini pada Selasa depan bagi memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan, sekali gus mencipta suasana seperti perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) antara JDT dan Buriram United dari Thailand pada 11 Mac lalu yang dihadiri lebih 34,000 penyokong walaupun dalam bulan Ramadan.
“Itu pasti luar biasa. Saya tahu pemain kami akan menyukainya, dan ia akan memberi mereka semangat yang istimewa dengan sokongan yang besar seperti itu,” katanya.
Perlawanan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Selasa depan dijadual bermula pada pukul 10 malam.
BACA: Singapura Beri Bantuan Hampir RM20K Setiap Bulan Kepada Penggangur
Sumber: Bernama