Skim Perubatan MADANI: Akses Kesihatan Percuma Untuk Golongan B40
Kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek kesihatan.
Salah satu inisiatif terbaharu yang diperkenalkan ialah Skim Perubatan MADANI, sebuah program rintis yang diwujudkan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memberikan akses kepada rawatan perubatan primer kepada golongan B40.
Skim ini memberi tumpuan kepada Rawatan Sakit-sakit Ringan, membolehkan penerima manfaat mendapatkan rawatan secara percuma di klinik perubatan swasta (GP) yang berdaftar di bawah program ini.
Kini, skim ini telah dilanjutkan sehingga tahun 2025 bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
Melalui inisiatif ini, lebih 700,000 isi rumah daripada golongan berpendapatan rendah kini boleh mendapatkan rawatan tanpa perlu risau mengenai kos rawatan asas.
Ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan mereka, malah meningkatkan tahap kesejahteraan kesihatan keseluruhan masyarakat B40 di Malaysia.
Berikut kami bawakan kepada anda panduan lengkap serta maklumat penting mengenai Skim Perubatan MADANI – sebuah inisiatif kerajaan yang membolehkan golongan B40 menikmati akses kesihatan secara percuma.
Ketahui bagaimana anda boleh memanfaatkan skim ini untuk mendapatkan rawatan tanpa beban kewangan
Kerjasama Sektor Awam dan Swasta untuk Kesihatan Lebih Baik
Skim Perubatan MADANI dibangunkan berdasarkan konsep kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Dengan membenarkan pesakit mendapatkan rawatan di klinik swasta yang berdaftar, skim ini membantu mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan, sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem perubatan negara.

Program ini diberikan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang terdiri daripada:
- Isi rumah berkeluarga
- Warga emas (tanpa pasangan)
- Individu bujang
Kelayakan adalah secara automatik berdasarkan rekod STR. Namun, mereka yang ingin menikmati manfaat skim ini perlu membuat pengisytiharan bahawa mereka tidak menerima manfaat serupa daripada mana-mana skim kesihatan lain seperti yang disediakan oleh majikan, kerajaan negeri, atau agensi perubatan lain.
Skim ini memberi tumpuan kepada rawatan asas yang diperlukan dalam kehidupan harian. Antara Rawatan Sakit-sakit Ringan yang dilindungi ialah:
- Demam dan selsema
- Cirit-birit dan muntah
- Terseliuh
- Sakit kepala
- Luka ringan dan trauma kecil
Namun, terdapat beberapa perkhidmatan yang tidak termasuk dalam skim ini, antaranya:
- Imunisasi rutin
- Saringan kesihatan
- Rawatan susulan bagi penyakit tidak berjangkit (NCD)
- Rawatan ibu dan anak secara berkala
- Perancangan keluarga
- Perkhidmatan rehabilitasi
- Permintaan ubat tanpa konsultasi doktor
- Permintaan suplemen kesihatan
Jumlah Manfaat yang Disediakan
Setiap kategori penerima skim ini diberikan jumlah manfaat berbeza mengikut status mereka:
- Isi rumah berkeluarga: RM250
- Warga emas tanpa pasangan: RM125
- Bujang: RM75
Untuk golongan bujang, kelayakan ini merangkumi individu berumur 21 hingga 59 tahun, manakala bagi Orang Kurang Upaya (OKU), mereka yang berumur 19 hingga 59 tahun juga layak menerima manfaat ini.
Skim Perubatan MADANI disusun dengan proses yang mudah bagi memudahkan penerima manfaat menggunakannya. Berikut adalah langkah-langkah untuk mendapatkan rawatan:
1. Semak Kelayakan
Penerima manfaat boleh menyemak kelayakan mereka melalui laman web rasmi Protect Health Corporation atau aplikasi MySejahtera.
2. Kunjungi Klinik Berdaftar
Setelah disahkan layak, mereka boleh pergi ke mana-mana klinik perubatan swasta (GP) yang berdaftar di bawah skim ini. Klinik-klinik ini boleh dikenalpasti melalui pelekat rasmi Skim Perubatan MADANI yang dipamerkan di premis masing-masing.
Selain itu, anda juga boleh membuat carian untuk klinik yang berdaftar di bawah Skim Perubatan Madani melalui pautan ini di laman web rasmi Protect Health
3. Terima Rawatan
Jika layak, pesakit boleh mendapatkan rawatan untuk Sakit-sakit ringan secara percuma tanpa sebarang caj tambahan.
4. Pemotongan Baki Manfaat
Selepas rawatan selesai, jumlah manfaat yang digunakan akan dikemas kini secara automatik. Had manfaat ini tertakluk kepada Terma & Syarat yang ditetapkan oleh ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd., iaitu agensi yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan skim ini.
Muat Turun Aplikasi Skim Perubatan MADANI
Untuk memudahkan akses kepada maklumat dan pencarian klinik berdaftar, pengguna boleh memuat turun aplikasi rasmi Skim Perubatan MADANI melalui pautan berikut:
- Android: Muat Turun di Google Play Store
- iOS: Muat Turun di Apple Store
Aplikasi ini membolehkan pengguna menyemak kelayakan, mencari klinik berdaftar, serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim ini dengan lebih mudah dan pantas.
Skim Perubatan MADANI adalah satu langkah proaktif kerajaan dalam memastikan akses kepada rawatan perubatan lebih inklusif untuk golongan B40.
Dengan kerjasama sektor awam dan swasta, skim ini bukan sahaja memberikan rawatan berkualiti kepada penerima manfaat tetapi juga membantu mengurangkan tekanan pada sistem kesihatan awam.
Bagi mereka yang layak, ini adalah peluang terbaik untuk mendapatkan rawatan kesihatan tanpa perlu bimbang tentang kos perubatan. Jadi, semak kelayakan anda hari ini dan manfaatkan skim ini untuk kesejahteraan diri dan keluarga.
BACA : Jimat Shopping Raya: Wajib Manfaatkan Promo & “Cashback”